Tuesday 17 September 2013

Apa beza Ching Peng dengan Henry Gurney?

Hari ini cuti Hari Malaysia, saya sarapan di warung Pak Ali macam biasa, kenakan nasi lemak dengan 'aya hitam'. Ramai pula kawan-kawan hari ini, mungkin cuti kot!

Kebetulan ada Ustaz Asmadi (Madi). Dia ni boleh berubat dan mengamalkan perubatan cara Islam. Ada cerita menarik tentang dia, nanti saya ada masa saya akan tulis.

Bidin pun ada sama. Saya niat nak tanya ustaz Madi, pasal perubatan tapi Bidin mula buka cerita pasal Ching Peng, saya ikut sahaja perbincangan mereka.

"Ching Peng dah mampus, abunya buang sahaja di Sungai Golok" kata Bidin (Ahli JKKK)

"Marah betul" kata saya

"Kenapa tidak kalau jadi pengkhianat Negara. Dia bukan rakyat Malaysia." kata Bidin lagi.

Saya hairan kenapa Chin Peng dan Rashid Maidin sebelum ini tidak dibenarkan pulang. Saya tidak kata mereka ini hebat sebagai pejuang kemerdekaan tetapi sejarah perlu dikaji semula. Haru ada penulis sejarah yang benar-benar bersumber fakta yang betul.


Saya juga hairan kenapa Henry Gurney dipuja dalam sejarah. Sedangkan itu adalah penjajah yang sah. Malah nama Henry Gurney diabadikan di negara kita.

Soal kerakyatan pula kita juga hairan dan tidak begitu faham pendatang tanpa izin yang mencari makan di negara ini memperolehi warganegara begitu mudah malah ada kad pengenalan membolehkan mereka memperolehi pruntukan BR1M.

Ching Peng dan Rashid Maidin yang sah mempunyai hubungan dalam sejarah kemerdekaan negara tidak dibenarkan pulang ke tempat asalnya. Mereka jadi buang sehingga akhir hayat.

Sangat tidak faham pemikiran orang-orang UMNO seperti Bidin.....

Saturday 14 September 2013

Apabila Khalid Samad & Nik Abdul menjawab tuduhan

Solat Isya' selepas bulan puasa kurang seronok. Saf pun tak lebih daripada dua. Kalau ada kuliah ada lebih sikit, itu pun bergantung kepada ustaz yang mengajar, kalau yang jenis ustaz tua "main" kitab kuning jawabnya bukan bertambah, makin kurang adalah.

Selepas Isya' Hassan macam biasa buka "kelas tambahan" (cerita politik semasa) di bucu surau. Saya hadir, dia tersenyum. Hassan memang suka saya ada, sebab yang lain kebanyakkannya mengangguk melainkan saya yang selalu kontra dengan pendapat dia.

"Kesian Khalid Samad, terpaksa menjawab tuduhan liar daripada kumpulan yang bergelar ulama" Saya rasanya dia macam menukar tajuk untuk memerangkap saya bercakap. Saya diam sahaja.

"Ulama tapi sebenar nak rebut jawatan" Hassan menambah.

"Tak baik membuat fitnah" kata Hassan lagi.

"Fitnah mainan syaitan, dan makin tersebar kalau kita buka cerita ditanpa pengetahuan, macam kita bercakap di sini... semua tahu ke apa cerita sebenar tentang Khalid?" Saya bertanya

"Kalau tak tahu lebih baik balik rumah jaga bini, ada manafaatnya" saya menambah.


"Hari ini Ustaz Nik Abdul, anak TG Nik Abdul Aziz menjawab isu naik kapal terbang peribadi, esoik lusa siapa lagi antara pimpinan PAS yang akan menjawab tuduhan" kata saya

"Siapa yang buat tuduhan ini, UMNO ke?" saya tanya. Semuanya tak menjawab. Bukan UMNO tapi ahli PAS sendiri.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda; “Orang beriman sentiasa di ambang lima dugaan yang susah; mukmin yang dengki padanya, munafik yang benci padanya, kafir yang memeranginya, syaitan yang menyesatkannya dan nafsu yang sering bertarung untuk mengalahkannya”.Kenapa Rasulullah s.a.w. menyebut mukmin yang dengki. Perkataan mukmin itu sudah jelas tak payah saya huraikan.

Jamaah menjadi porak peranda kerana ahli-ahlinya tidak memahami adab berjamaah, adab berbeza pendapat.

Saya cerita tentang kisah Abu Bakar dengan Rasulullah s.a.w.

Suatu hari, Rasulullah duduk bersama Abu Bakar. Tiba-tiba, datang seorang laki-laki. Dia memaki Abu Bakar dengan kata-kata yang sangat buruk. Namun, Abu Bakar tidak membalasnya. Begitu juga dengan Rasulullah, yang hanya berdiam tanpa membela Abu Bakar. Mereka tetap diam.

Oleh kerana makiannya tidak dibalas, laki-laki itu pun terdiam. Namun, Abu Bakar kemudian membalas makiann tersebut. Melihat perkara ini, Rasulullah s.a.w. terus bangkit dari duduknya dan pergi meninggalkan Abu Bakar.

Abu Bakar terkejut melihat tindakan Rasulullah s.a.w.. Dia segera berlari mengejarnya. Abu Bakar pun bertanya,

“Ya, Rasulullah, laki-laki itu telah memakiku, tetapi aku diam saja. Begitu juga engkau. Namun, ketika aku menjawab makian itu, engkau malah meninggalkanku. Mengapa, ya Rasulullah?”

Rasulullah pun menjawab,”Wahai Abu Bakar, sesungguhnya malaikat datang mendampingimu dan menjawab makian laki-laki itu tadi ketika kamu diam. Karena itulah, aku senang berada di sana. Namun, ketika kamu membalas makian itu, malaikat pun pergi. Setan datang dan ikut duduk denganmu. Aku tidak suka duduk ersama setan. Itulah sebabnya aku meninggalkanmu.
Kemudian, Rasulullah melanjutkan penjelasannya, “Jika seorang manusia memaafkan orang yang menzaliminya karena dianggap mengharap ridha Alah, pasti Allah akan menambah kemuliannya.”

Rasulullah s.a.w mengajar kita tidak menjawab kerana dalam menjawab akan datang syaitan menduduki hati-hati kita.

"Lihat komen pada setiap tulisan samada Khalid Samad atau Nik Abdul" kata saya.

"Komen-komen daripada bisikan syaitan" Jawab Rahman... Belum sempat saya nak cakap.

Komen-komen daripada pimpinan PAS yang terkena fitnah, tak kira daripada kumpulan mana bukan menyelesaikan masalah tetapi akan menambahkan api permusuhan. Internet bukan medium untuk kita mencari kebenaran dalam jamaah, sebab jamaah sudah ada cara dan corak penyelesaiannya. Tapi malangnya kita berkeras tidak mengunakan saluran jamaah dan kita lebih suka melebarkan masalah.

Kita pernah dengar Tun Mahathir bercakap "Rasuah dalam UMNO membusuk sehingga ke usus". Apakah PAS akan menjadikan fitnah juga membusuk sehingga ke usus. Kita mengadakan cerita keburukan bagi menjatuhkan satu sama lain, kita hilang sifat persaudaraan, kita hilang rasa malu kepada Allah atas perilaku kita.

Kita memburuk satu sama lain dalam masa masa kita memakai jubah perjuangan Islam?? Sangat malu dan aib mulut kita bercakap tentang Islam tetapi hati kita penuh dengan dendam dan hasad!

Saya lebih berpendapat hentikan polimik bodoh sebelum Muktamar. Sebelum ini dengan isu Syiah-Sunni dan sekarang isu UG dan Ulama' akhirnya perjuangan Islam dicemari oleh sikap bodoh kita.

Saya minta izin lalu meninggalkan 'usrah kopi o' di bucu surau yang menajamkan (kata sinis) kefahaman politik dalam Jamaah!

Artikel berhubung:

Friday 6 September 2013

Zahrain dapat habuan

Pagi macam biasa sarapan di warung Pak Ali, lama benar tak ke warung. Sebelum ini sebulan bulan puasa Pak Ali tak buka warung. (link) Selepas itu sibuk dengan puasa sunat syawal dan jamuan raya.

Semasa minta pesan terlihat Utusan Malaysia. Nak beli minta maaf, rasanya lebih baik duit itu dimasukkan dalam mana-mana tabung derma, tapi kalau ada yang free macam ini boleh juga lihat. Nak tahu juga kelentongnya macam mana.

Terbaca bekas Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim disahkan bakal dilantik sebagai Duta Malaysia ke Indonesia yang baharu.

Pelik juga bunyinya, biasanya yang dilantik diumumkan tapi yang ini "bakal dilantik" pun dijadikan tajuk utama.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, pelantikan Zahrain itu akan dibuat secara rasmi tidak lama lagi selepas dimaklumkan kepada kerajaan negara tersebut.

"Kita tidak melihat kepada latar belakang politik beliau kerana apa yang dicari ialah individu terbaik dan sesuai bagi memegang jawatan itu," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Luar semalam.

Menurut Anifah lagi, pelantikan Zahrain dibuat berdasarkan kriteria yang ditetapkan, kemampuan dan kesetiaannya kepada kerajaan.

Apa nak jadi dengan negara kita, sebelum ini YB Datuk Haji Abdul Azeez bin Abdul Rahim dilantik sebagai pengerusi Tabung Haji. Kita terbaca bagaimana cadangan memakai baju Melayu dan samping di Mekah. Kononnya semasa waktu melawat kita boleh guna baju berkenaan. Kan lucu. Di Malaysia pun semasa melawat Zoo, Muzium atau sebagainya, tak pernah saya terjumpa orang pakai baju Melayu bersamping, takkan di Mekah nak berbuat demikian. Satu cadangan sangat dangkal!

Ini akibat daripada orang bukan ahli memengang sesuatu jawatan atas dasar politik.


Saya tak boleh fikir bagaimana Zahrain terpilih? Adakah kerana bekas ahli PKR ini yang begitu kuat kecam Anwar Ibrahim?

Zahrain ada rekod "kepercayaan" yang tidak baik. Sifat dendam dan serangan yang tidak beretika kepada Anwar bekas ketuanya suatu yang tidak boleh dipandang ringan. Adakah ini tidak mempengaruhi Indonasia dalam hubungannya dengan Malaysia melalui manusia yang boleh dipertikaikan intergeritinya?

Atas dasar pengaruh Anwar yang cukup kuat terutamanya di Indonasia, hubungannya dengan pimpinan dan bekas pimpinan Indonasia yang sangat akrab, mungkin menjadikan Zahrain pilihan yang baik mengikut Najib kerana Zahrain boleh memburukkan Anwar di Indonasia?

Saya melihat kerajaan makin kalut di bawah kepimpinan Najib... Baik saya habiskan nasi lemak.

Artikel berkaitan:


Thursday 5 September 2013

Minyak Naik 20 sen + BR1M juga akan naik

Petang semalam nak isi minyak terserempak dengan Bidin. Kali terakhir jumpa masa makan selepas terawih di kedai makan bersama Mazlan pengerusi JKKK (link). Kami berborak sikit pasal politik semasa.

"Orang kuat UMNO kalau guna kad ahli boleh dapat harga RM1.90" kata saya. Bangla Caltex tersengih... macam dia faham. Entah-entah dia pernah pakai baju UMNO untuk berdemo. Kalau tak pun pernah mengundi. (Itu tekaan hati saya)

"Naik cuma 20 sen sahaja" Itu pun nak kecoh kata Bidin.

"Ya, kalau isi RM40 kita kena bayar RM40.20 sahaja pasal naik 20 sen sahaja kan?" kata saya perli Bidin.

Sekali lagi Bangla itu tersenyum. Saya pun naik hairan.

"Kerajaan tak naikkan minyak, tapi kerajaan kurangkan subsidi sahaja"
Kata Bidin dan inilah yang selalu saya dengar daripada 'karat' biru berhujah.

Bidin juga menerangkan bahawa subsidi yang dikurangkan ini akan digunakan untuk menambahkan BR1M yang sudah pasti akan menguntungkan rakyat. Jumlah 20 sen yang dikurangkan atas bantuan subsidi dan kerajaan masih lagi memberi subsidi lebih daripada 68 sen.

Jumlah 20 sen itu telah menjimatkan wang kerajaan sebanyak RM3.3 billion. Dan daripada ini sudah diketahui bahawa RM3 billion telah digunakan untuk memberikan kemudahan kepada rakyat dalam bentuk BR1M sebelum ini yang berjumlah RM500 seorang.

Kata Bidin lagi, dengan penjimatan RM3.3 billion kerajaan boleh menambah untuk Bajet 2014 BR1M daripada RM500 kepada RM1000 seorang. Itu kan bagus.

Saya melihat kepada Bangla tadi, kali ini dia tak semyum dia sudah menyimpan pam pada tempatnya menandakan minyak telah selesai diisi. Dalam hati Bangla ini jika ada IC sudah pasti senang-senang dapat RM1000 tahun hadapan.

Saya hairan bagaimana kerajaan boleh beranggapan dengan pemberian BR1M kepada rakyat telah menyelesaikan sebahagian daripada kesusahan rakyat golongan rendah yang berpendapatan RM3000 ke bawah. Siapa punya kajian yang boleh membuatkan kerajaan terlalu yakin sehingga hendak menambah BR1M??

Saya juga berkeyakinan rakyat lebih selesai jika duit BR1M sebelum ini yang berjumlah RM3 billion itu diambil ditukarkan untuk diberikan subsidi petrol supaya harga petrol kurang lagi 20 sen daripada RM1.90 kepada RM1.70.

Dengan pengurangan harga petrol sudah pasti harga pengangkutan, barangan dan sebagainya akan menurun dan ini akan memberikan kemudahan kepada rakyat golongan miskin dan juga golongan pertengahan. Ini adalah lebih bermanafaat daripada pencing undi untuk BR1M sedangkan duit RM500 itu boleh habis dengan sekelip mata sahaja.

Prihatin kerajaan diperlukan bukan sekadar lepas mulut menjawab sebagaimana Bung Mukhtar yang mengatakan rakyat miskin tak guna kereta.

Saya tak tahu kalau tak guna kereta sudah pasti guna motorsikal. Adakah motosikal tak guna petrol? Nampak sangat wakil rakyat BN bercakap tak gunakan akal.

"Kalau nak murah kerajaan boleh kaji Ron92 diguna semula" kata Bidin.

Ini satu lagi, sebelum ini banyak pertingkaian terhadap Ron95 yang dikatakan tidak bermutu malah ada yang mengatakan bahawa kebakaran kereta dalam kes-kes kemalangan terakhir ini juga berpunca daripada penggunaan Ron95. Kenapa perlu minyak yang kurang bermutu seperti Ron92?

Saya melihat kerajaan kalut dalam melaksanakan dasar kenaikan harga petrol. Cuba lihat di papan notis subsidi tentang harga Ron95 sebelum subsidi ialah RM2.73 sedangkan harga Ron97 ialah RM2.70. Kenapa Ron95 lebih mahal daripada Ron97 yang mengikut harga pasaran petro dunia?


Bagaiman kerajaan menipu kononnya kerajaan membayar subsidi lebih?
Sekarang untuk menutup malu dan penipuan ini  kerajaan menaikan Ron97 kepada RM2.85 sedangkan minyak dunia masih belum naik sepenuhnya. Mana kenyataan sebelum ini mengikut harga minyak semasa?

"Siapa yang di perbodohkan?" tanya saya kepada Bidin

Bidin hanya terdiam.

Kerajaan juga tiada kajian secara menyeluruh dalam hal ini. Semalam TV ada menyiarakan tentang Kementerian Pertanian menyatakan akan menubuhkan jawatankuasa mengkaji kesan kepada nelayan atas kenaikan petrol 20 sen.

Habis sebelum ini kerajaan buat keputusan berdasarkan maklumat di mana? Kenapa sekarang nak kaji kesan?

Saya belum bercakap lagi tentang kesan kenaikan 20 sen dengan isu RM40 seminggu, berapa harus dibelanjakan setiap bulan dan jumlahnya untuk setahun. Adakah memadai dengan BR1M RM500 itu??

Bidin mula mengalah, saya tak tekan banyak perkara sebab ada orang lain nak isi minyak akhirnya kami berpisah tanpa kata pemutusan atas perbincangan ringkas tadi.

Artikel berkaitan:



Friday 9 August 2013

Maidam Curi Duit Amil Zakat?

Bila akhir Ramadan, kebiasanya kami tak balik terus macam biasa selepas tarawih bukan ada sesi bacaan al Quran atau berzikir tetapi berborak dengan amil yang kebiasaan bertugas sehingga pukul 12 malam bagi memungut fitrah.

Kampung saya Ayah Mat De, nama sebenar Mohamad Daud. Apa kaitan De dengan Daud saya pasti tetapi memang dia adalah amil yang telah dilantik oleh kerajaan (Maidam Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu) semenjak saya kecil lagi.

Ayah Mat memang kemas kerjanya, tak banyak cakap tapi seorang yang tegas dan komited dengan tugas yang diberikan. Dia ada catatan yang kemas dan ini membuatkan kerja amirnya agak tersusun.

Banyak kali saya dengar amil yang tak ada catatan, bila masa untuk membuat bayaran kepada Maidam duit hilang tak cukup bukan kerana di curi oleh orang tetapi tersalah menggunakannya. Mananya tidak.. selit situ sini semasa orang membayar, akhirnya terguna.

Memang jadi kebiasaan  tak cukup seratus dua, kalau jenis kaya tak apa boleh bayar tapi kalau jenis yang 'macam patut boleh asnaf juga' tak jadi bala??

Saya duduk sebelah Ayah Mat, sambil tuang kopi yang selalu ada untuk hidangan orang yang datang bayar fitrah.

"Banyak dapat hari ini" saya mula berbicara.

"Tahun ini slow sikit" kata Ayah Mat.

"Kenapa?" tanya saya.

"Entahlah" Ayah Mat macam tak suka nak berbual dan masih fokus kepada buku resit ditangannya.

Saya membelek-buku resit yang masih tak guna. "Ooi ada dua jenis" kata saya.

Ayah Mat menjelaskan sekarang, ok kerana zakat fitrah dan zakat harta diasingkan buku resitnya. Dulu tak. Pernah terjadi buku tertinggal di belakang ada budak nakal yang solat tarawih koyak satu resit putih dan meninggalkan salinannya. Puas Ayah Mat cari tak jumpa yang terkoyak tu.

Susah hati katanya nanti dikatakan cuba menipu kerajaan (Maidam). Macam-macam yang mencadang ada yang suruh tipu buat pada salinan tertinggal, tapi akhirnya Ayah Mat jenis jujur ini buat report polis dan memaklumkan kepada Maidam.

"Apa tindakan Maidam?" tanya saya.

"Sampai sekarang tak ada apa-apa, ni Ayah Mat masih amil...." Ayah Mat menjawab sambil tersenyum.

"Kaya Ayah Mat" Saya menyindir dalam ertkata bergurau.

"Kaya apa, Maidam dah buat kerja tak betul" Ayah Mat mula serius dan muka tersenyum dah jadi kelat semula. Urat-urat tua dimuka mula terserlah.

"Ni lihat" sambil menghulur satu sampul surat rasmi.

Saya membuka dan membaca, terkejut dan saya berkata boleh masuk dalam internet. Ayah Mat tak menghalang. Saya terus keluarkan handphone dan mengambil gambar.

Klik untuk besar

Surat 24 Julai 2013 yang telah dihantar seminggu sebelum Hari Raya menyatakan tentang keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu kali ke-9 yang bersidang pada 22 Jun 2010 memutuskan amil hanya berhak mendapat 1/16 daripada zakat harta sedangkan untuk zakat fitrah 1/8.

Yang menjadi kemusyikilannya kenapa keputusan mesyuarat pada 22 Jun 2010 sekarang baru dikuatkuasakan iaitu semacam menunggu selepas PRU sahaja?

Dalam surat berkenaan asnaf amil telah ditukar dengan perkataan upah untuk menghalalkan perbuatan mereka. Sama seperti zaman dahulu bagaimamana kerajaan UMNO menghalakan judi dengan perkataan "Loteri Kebajikan Masyarakat". Riba dengan "faedah".

Bagi saya mereka yang berada dalam jawatankuasa berkenaan adalah mereka yang tahu tentang agama tetapi sewenangnya meminda hukum dan ketetapan Allah tentang asnaf. Mereka cuba menipu Allah dengan mengaburkan perkataan "Upah" supaya mereka boleh berdalih itu 1/16 itu bukan asnaf, sedangkan Rasulullah s.a.w. telah mengajar kita bagaimana peranan amil.

Kemana perginya separuh duit amil-amil negeri Terengganu yang di"curi" oleh Maidam? Fakir dan miskin melarat, sekolah-sekolah agama rakyat terbiar tanpa bantuan. Ibu tunggal tersempit dalam kehidupan.

Inilah kerja-kerja perosak agama, apabila amanah diberikan kepada mereka yang tidak layak serta berkepentingan.

Artikel berkaitan:




 












Thursday 8 August 2013

Mercun Bola

Belum sempat saya masuk kereta, saya terlihat satu gerai menjual bunga api dan mercun.

"Nanti dulu Azwan, saya nak lihat" saya terus ke gerai menjual bunga api dan mercun. Membelek-belek sambil melihat saya di sapa penjual.

"Murah aje, malam ni nak lego" (lego maksud lelong)

"Mercun bola ke ni saya tanya" saya tak mahir sangat pasal mercun.

"Mercun telur, lebih kurang macam mercun bola tapi besar sedikit" kata penjual.

"Berapa" saya tanya

Mercun telur, hampir sama dengan mercun bola
"Bayar RM14 sahaja" maksudnya RM14 seratus biji yang dibungkus dalam plastik.

"Terima kasih, sekadar tanya sahaja" lalu saya meninggalkan gerai tersebut.

"Mercun telur tak bagus, pasal besar, kalau mercun bola kecil mudah di bawa masuk stadium" kata Azwan.

Saya sekadar diam... Dalam hati Azwan ni kaki mercun juga.

"Macam mana boleh boleh jual secara terbuka? Tak ada polis ke?" saya merunggut.

"Kalau dadah berkilo-kilo boleh dibawa masuk menggunakan plastik gelenya (beg palstik), inikan mercun lagi mudah" kata Azwan.

Semalam Wahab beli pun harga macam ni juga kata Azwan kepada saya. Anak-anak Wahab main mercun, biar betul. Cucu Haji Teh, Iman masjid!! Saya menjadi hairan ramai orang surau dan masjid yang ada kesedaran Islam masih biarkan anak-anak atau cucu main bunga api dan mercun sedangkan secara halus perkara ini tak serasi dengan amalan Islam.

Jika kita yang ada kesedaran Islam tak ada sensitif tentang perkara ini, siapa lagi yang akan membetulkan keadaan. Harap kepada penguat kuasa?

Saya berpendapat pihak penguasaan polis dan kastam tidak memainkan peranan yang serius dalam hal penguatkuasaan bunga api dan mercun.
Bunga api dan mercun, sekarang telah menjadi sinonim dengan masyarakat Melayu. Tak tahu macama mana budaya masyarakat Cina yang menggunakan mercun untuk menghalau roh jahat semasa sambutan Tahun Baharu Cina, kini menjadi kelaziman masyarakat Melayu. Entah hantu apa yang merasuk di kepala masyarkat Melayu. 

Tak banyak catatan tentang bila pengaruh masyarakat Cina masuk ke dalam budaya masyarakat Melayu. Yang kita tahu semenjak saya kecil lagi sudah ada bunga api dan mercun. Tiap kali Ramadan meriam buluh akan menyerikan suasana.

Hari ini, bunga api dan mercun mengalami perubahan yang sangat mendadak dibuat macam ala perang dengan bom tangan dan bunyinya juga cukup mengegarkan.

Tindakan pihak berkuasa membuat pemantauan di sempadan, masih belum menampakkan hasil yang positif, malahan tangkapan demi tangkapan membuktikan pihak penyeludup tidak berputus asa membawa masuk bekalan bahan terlarang ini ke pasaran gelap dalam negara kerana ia perniagaan bermusim yang menguntungkan.
Anak-anak remaja kita agak 'kreatif' apabila bermain mercun. Hasilnya, kita dikejutkan dengan berita kecederaan akibat bermain mercun, seperti kehilangan jari akibat kesilapan memuatkan belerang mercun dalam bekas silinder besi umpamanya. Kita pernah dikejutkan dengan kisah tragis seorang anak kecil yang mayatnya tersangkut di pokok akibat letupan mercun di stor berhampiran rumahnya di Terengganu beberapa tahun yang lalu.

Apa yang menyayat hati ialah kebanyakan kanak-kanak yang menjadi mangsa mercun ini bukan setakat mengalami kecederaan melecur di tangan dan jari tetapi ada yang hancur ibu jari dan hampir menjadi kudung.

Jangan hairan jika menjelang Syawal, tragedi akibat bermain mercun bagaikan tidak berkesudahan. Sudah tiba masanya, kerajaan bertindak lebih tegas tanpa ada retorik dan alasan berjela-jela dalam menguatkuasakan tindakan terhadap mereka yang menjual dan memiliki mercun. 

Mercun bom
Kejadian penyeludupan, pengedaran dan jualan mercun dan bunga api yang sentiasa berlaku hanya boleh dihentikan melalui penguatkuasaan ketat dan dengan kerjasama orang awam yang tidak membeli barang tegahan tersebut.

Di bawah Seksyen 4 (2) Akta Bahan Letupan 1957, sesiapa yang didapati membuat, memiliki atau mengimport mercun dan bunga api boleh dipenjara tidak kurang daripada lima tahun atau didenda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Pelanggaran undang-undang yang sedia ada untuk mengawal penyeludupan, pengedaran dan jualan barang tegahan secara terang-terangan adalah jelas tidak dipandang serius oleh pihak yang melanggarnya.

Dengan itu, undang-undang tersebut perlu dipinda dengan turut memasukkan perkara-perkara berikut:

1. Hukuman penjara mandatori bagi penyeludup termasuk rampasan harta dan asetnya;

2. Kenderaan yang barang tegahan itu ditemui di dalamnya perlu dirampas dan dilelong.

3. Tindakan tegas juga perlu diambil terhadap orang yang ditangkap kerana bermain mercun dan bunga api. Denda berat dan hukuman penjara perlu dikenakan ke atas peruncit serta orang awam yang didapati menjual mercun.

Nukilan



Ada puak nak bina pejabat UMNO atas tanah wakaf kubur

Untuk menyekat Mazlan dan Bidin daripada mempersoalkan saya dengan pelbagai isu termasuk isu dalaman PAS, saya cuba mengalih isu.

"Dengar kawan awak JKKK Taman Rusila nak rampas tanah kubur?" Saya mula mengalih isu Syiah kepada isu JKKK UMNO. Kebetulan Mazlan adalah kawan baik kepada pengerusi berkenaan.

"Bukan rampas, tebus guna untuk manafaat bersama. Tadika akan dibina di situ untuk manafaat pendudukan taman" kata Mazlan.

"Orang PAS tak boleh lihat perkara baik semuanya nak buat fitnah" Bidin menyampuk.

"Kan dah ada orang tanam tebu dan tembikar di situ? Kenapa sakitkan hati mereka buat report kepada Maidan?" saya mula mempertikaikan maklumat mereka.

Tanah Perkuburan Rusila ada banyak kawasan lapang. Ada penduduk yang telah minta izin untuk bertanam dan mereka telah menjaga tanah perkuburan itu dengan hasil lebihan keuntungan daripada tanaman yang diusahakan. Mereka juga menjaga kebersihan dan kelengkapan kubur.

Walaupun tanah perkuburan itu hanya untuk orang Rusila, mereka telah memberikan sebahagian daripada tanah perkuburan itu untuk penduduk taman bagi perkuburan mereka di situ.

Malangnya JKKK di taman itu cuba untuk menguasai tanah perkuburan tersebut, mereka telah menghalang penduduk menggunakan tanah perkuburan untuk projek tanaman, malah mereka mengugut dan membuat laporan kepada Maidan. Cubaan gangguan ini adalah untuk menguasai tanah perkuburan berkenaan.

Sebenarnya tanah perkuburan itu adalah di bawah penguasai Penghulu Yusuf, 'toki' (datuk) Ayah Chik (Datuk kepada Presiden PAS Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang)

Puak UMNO degil malah tak mahu menerima nasihat penduduk kampung, mereka telah mengadu kepada Maidan untuk menghalau penduduk daripada menggunakan tanah berkenaan sedang penduduk telah mendapat izin daripada waris Tuan Guru Haji Abul Hadi.

Saya difahamkan puak UMNO (JKKK di situ) merancang untuk membina pejabat UMNO di situ. Mereka cuba mengabur mata rakyat dengan membina satu tadika kononnya untuk kepentingan penduduk di taman berkenaan.

Sekarang penduduk kampung telah diberikan salinan geran hak milik tanah perkuburan tersebut yang menyatakan adalah hak milik penguasaan penghulu Yusuf.

"Dulu ada JKKK membahagikan tanah hak milik DarulBayan kepada beberapa orang AJK sedangkan tanah itu adalah tanah untuk projek anak Yatim, sekarang ini nak bina pejabat atas tanah kubur? Kenapa teruk sangat sikap JKKK?"  tanya saya.

"Itu baru cadangan" Bidin menyampuk lagi, Mazlan sekadar diam.

"Kalau nak buat sesuatu, tanyalah orang lama di situ, tanah tu hak milik siapa? Ada geran hak milik atau tidak? Jangan buat pandai-pandai menghalau orang kampung sesedap hati"
saya menyindir lagi.

"Betul ke ada geran?"
Mazlan mula bertanya.

"Geran itu dikeluarkan sebelum Merdeka. Penduduk telah diberi salinan geran asala yang disimpan oleh kakak Presiden PAS"
  kata saya.

"Geran itu adalah geran yang menyatakan hak milik pengusaan walaupun itu tanah wakaf" tambah saya.

Bidin dan Mazlan diam sahaja.

Saya cepat menghabiskan minuman dan terus ke kaunter untuk membayar harga makanan. Bukan apa saya tak nak Mazlan belajankan saya. Biar saya yang belanjakan mereka. Bukan tak makan duit orang UMNO tapi ada rasa tak sedap hati.. maaf atas sikap itu.

"Saya kena cepat" kata saya lalu meninggalkan mereka.

"Terima kasih, niat nak belanja tapi sebaliknya" kata Mazlan sambil tersenyum.

"Tak apa lain kali ada lagi" kata saya.

UMNO di mana-mana sekali tak boleh lihat tanah wakaf atau tanah hak kerajaan, mesti ada projek nak sapu atau nak kongsi sesama mereka. Itu hati perut mereka, hidup dengan kesenangan atas kesengsaraan rakyat.

Kena baca artikel sebelum ini bagi memahami cerita di atas.
http://tin-buruk.blogspot.com/2013/07/orang-umno-pun-bercakap-pasal-syiah.html

Tuesday 30 July 2013

Orang UMNO pun bercakap pasal Syiah

Balik daripada tarawih saya ditumpangi oleh Azwan anak Pak Ali, tokey warung.

"Jam masih pukul 10.30 malam, apa kata kita perkena sedikit makanan?" tanya saya kepada Azwan. Dia sekadar menggaguk sahaja. Azwan seorang yang pendiam, tak banyak cakap macam ayahnya juga.

Pak Ali bila masuk sahaja bulan ramadan dia terus tutup warung, kerja hanya 11 bulan. Hidupnya tak susah mana malah saya lihat macam agak mewah juga.

Saya menuju luar kampung dan singgah satu kedai makan yang ramai dikunjungi budak muda kerana kedai ada ada layar yang dipasang dengan projektor LCD. Kalau musim bola tak payah datang dan ada kerusi nak duduk.

Keluar daripada kereta, terus disapa oleh Pengerusi JKKK, Mazlan dia terus mencuit memanggil saya duduk dengan mereka. Hanya Bidin orang kanan Mazlan sahaja ada sebelah. Nak tak nak saya mengalah dan duduk kerana dia orang pun belum ambil 'order' lagi. Mungkin baru sampai macam saya.

Saya order mee ratna lama tak perkena semenjak puasa ni.

Mazlan ni educated sikit, tak macam JKKK yang disebut-sebut oleh Ustaz Azhar dalam kuliah-kuliahnya.

"PAS keluar kenyataan rasmi macam nak bersih nama Mat Sabu aje!" Mazlan mula membuka cerita.

"Kenyataan apa?" saya buat tak tahu

"Tuan Ibrahim Tuan Man kata tak ada Syiah dalam PAS, takkan tak tahu?" Mazlan menambah.

"Baca dalam Harakah ke?" Tanya saya saja nak perkenakan si Mazlan ni.

"Tak boleh baca ke" Mazlan tanya balas.

"Tak adalah, akhbar tu buat ahli sahaja. Tak boleh jual di luar nanti ada orang busuk hati akan rampas takut nanti terpengaruh" saya mula menyindir. Si Bidin hanya tersengih.

"Mat Sabu kena nafi sendiri, tak payah nak minta orang lain bela. Tuan punya badan tak bersungguh-sungguh bela diri. Kalau dia bukan anuti Syiah dia kena nafi bukan sahaja dengan mulut tapi perbuatannya" Mazlan memberikan hujah.

"Semenjak bila yang kena tuduh kena buktikan?" aku bertanya

"Kena bukti dia tak bersalah" Bidin mencelah

"Setahu saya Mat Sabu sudah menafikannya, takkan nak suruh Mat Sabu buat sumpah laknat, junjung al Quran di masjid" saya menyindir lagi.

Saya agak pelik sekarang ni banyak tuduhan tersebar dalam internet seolah-olah mereka tak takut akan peringatan Allah dan menjadi lagi pelik yang kena tuduh pula terpaksa membukti dia tak bersalah sedangkan orang yang membuat tuduhan begitu senang melempar tuduhannya. Kita bercakap mengenai Islam tetapi kita membelakangi apa yang Islam ajar kita.

Sebelum ini ada kawan saya pernah menghubungi saya minta saya menulis pasal pengaruh Syiah dalam PAS. Saya tanya dia siapa? Dia kata Mat Sabu. Saya kata ada bukti ke, jangan mudah kita mengkafirkan orang ini tuduhan berat dalam Islam (sebab ada yang anggap semua Syiah itu kafir).

Dia kata "ada".
Saya tanya lagi lihat sendiri atau dengar sendiri daripada mulut Mat Sabu?

Dia kata tak lihat sendiri tapi dengar daripada "maklumat yang sahih".

Maklumat sahih, sumber dalaman, daripada kepimpinan sendiri ini adalah ayat-ayat yang selalu saya dengar bila orang berhujah dan menulis dalam internet. Kebanyakkan mereka ini pembohong yang menempah 'bala' di akhirat nanti. Saya tak nafi ada maklumat yang betul tapi ramai menulis sekadar "penyedap" sahaja.

Saya tanya lagi kawan saya ada melihat sendiri amalan syiah yang dilakukan? Dia kata tidak, tapi pernah lihat semasa Mat Sabu nak solat ada tisu ditangannya.

Saya tergelak! Bukan apa saya pernah lihat Ustaz Hussin Awang bawa tisu satu kotak semasa nak solat. Dia bukan Syiah yang nak taqiah sorok batu dalam tisu. Dia selsema teruk. Saya pun kalau selsema tertinggal tisu solat tak khusyu' bayangkan hingus akan menitis (jika selsema sudah tahap akhir air hingusan akan keluar sendiri dalam bentuk cecair seperti air dan menitis tanpa disedari)

Dulu awal 80an selepas Revolusi Iran, ramai pimpinan PAS sambung belajar dan ada yang memilih untuk belajar di Iran kerana percuma, termasuk Mat Sabu.

Jika nak belajar sendiri sangat sukar, bayangkan kalau nak sambung master di luar negara misalnya kalau tak ada biasiswa kita terpaksa menghabiskan duit RM40-50 ribu.

Bila belajar di Iran, satu sikap tak baiknya ialah bila masuk tahun kedua dia orang mula untuk mengubah pelajar-pelajar Malaysia menganut fahaman Syiah. Ini saya dengar sendiri daripada mulut Mat Sabu. Mat Sabu memang ada hubungan 'spesial' dengan Iran. Kalau orang sebut Mat Sabu mendapat bantuan dan sumber kewangan daripada Iran, yang tak menolak kemungkinan ini.

Bila belajar di sana memang kita tak lari daripada cara dan gaya orang-orang "Syiah". Misalnya Tuan Guru Nik Abdul Aziz belajar di India, cara dia berhujah pun bagi sesetengah yang mahir tahu di mana dia belajar. Sama juga dengan Tuan Guru Haji Abdul Hadi. Mereka juga mendapat sumbangan daripada negara-negara luar Misalnya India dan Arab Saudi. Orang PAS masa tu papa dan miskin tak seperti sekarang kalau nak belajar terpaksa bergolak gadai!

Jadi tak hairanlah kalau ada orang kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz atau Tuan Guru Haji Abdul Hadi wahabi.

Dulu bila pelajar balik daripada London mereka terpengaruh dengan "IRC" dan mereka yang balik daripada Mesir sebahagiannya terpengaruh dengan gerakan "Alami" sedangkan semuanya adalah Ikhwanul Muslimin. Aliran pemikiran sebenarnya  tidak lari dipengaruhi oleh tempat di mana kita belajar dan tinggal.

Contoh paling mudah ialah aliran pemikiran mazhab. Bagaimana  mazhab Shafie, Hanafi, Hambali dan Maliki semuanya dipengaruhi oleh tempat tinggal mereka dalam berhujah dan mengumukan fakta.

Ada juga yang berhujah kata Mat Sabu adalah Syiah dengan memberikan satu klip video ceramah yang mana Mat Sabu menyebut kehebatan Hassan Nasrallah dan dia kata sehingga isterinya nak peluk Hassan Nasrallah. (link)

Kalau kita kenal Mat Sabu, kita ikuti ceramah-ceramahnya saya rasa kita akan faham setiap perkataan keluar daripada mulut Mat Sabu.

Dulu saya pernah ikut geng penerangan PAS membuat rakaman ceramah. Ceramah Mat Sabu adalah yang paling top. Jadi kita follow Mat Sabu. Isu pada masa itu adalah isu Melayu masuk Kristian.

Pada satu ceramah Mat Sabu sebut 5 000 orang Melayu masuk Kristian. Kemudian esoknya Mat Sabu ceramah lagi di daerah sebelahnya Mat Sabu sebut 8 000 orang Melayu masuk Kristian, hadiri bertakbir Allahu Akhbar!! Saya berpendapat yang mendengar ceramah itu juga terdapat orang-orang yang dengar ceramah pada malam semalam kerana tempat itu terlalu dekat walaupun daerahnya berbeza, tak sampai 20 km.

Kita juga kena faham pengaruh internet, misalnya video Tun Mahathir yang mengatakan dia sengaja mengheret Anwar Ibrahim ke penjara, yang ditonton lebih daripada 1 juta orang (link). Berapa orang yang bermatian-matian kata video itu benar sedangkan itu cakap sinis Tun Mahathir yang dikerat dan dimuatkan dalam video klip. Perbuatan ini adalah membalas sikap TV pada masa itu suka mengerat dan mengedit cakap-cakap pimpinan PAS untuk mengabur penonton.

Sama juga isu Rosmah menabung semenjak kecil, berapa orang yang percaya sedangkan itu adalah editan daripada muka depan Utusan Malaysia. (link)

Saya kesian melihat bagaimana penulis tersahor, mengulas isu Rosmah menabung dari segi logik dan tak logik dengan kiraan simpanan kalau menabung daripada bayi sehingga umor Rosmah sekarang, sedangkan maklumat yang diambil itu sebenarnya adalah tidak benar sama sekali.

Bila kita bicara perkara ini ada orang PAS akan marah kepada saya, dia kata saya bela UMNO. Ini bukan soal bela atau tidak tapi kita bercakap soal fakta dan maklumat.

Kalau tak ada bukti, tak payahlah kita menuduh biarlah Mat Sabu dengan Allah, melainkan Mat Sabu sudah merosakkan jamaah sehingga PAS sudah tidak dipercayai lagi. Tapi kalau setakat nak jatuhkannya dalam pemilihan di Muktamar nanti, rasa tak payah kita buat kerja yang akhir merosakkan kita.

Sunday 28 July 2013

Hassan Al Banna dan Said Hawa

Balik kerja saya terus ke surau untuk berjamaah asar. Sampai di surau dah nampak si Hassan.

"Macam tunggu aku" terdetik dalam hati saya. Hassan tak kerja ke hari ini? saya tertanya-tanya dalam hati. Belum sempat nak parking nampak pula si Wahab.

"Mampuslah hari ini..." (bahasa tempatan yang bermaksud nahaslah!)

Saya tak sapa pun mereka terus naik ke surau untuk tunai solat asar. Selepas sahaja solat dan kami jamaah surau nak beredar Hassan dan Wahab datang kepada saya.

Belum sempat mereka membuka mulut, saya terus cakap "Mari sini saya nak cakap" kata saya sambil menarik mereka ke baranda surau.

"Kenal Hassan Al Banna?"
"Eh takkan tak kenal" kedua-dua menyampuk.

"Kenal Said Hawa?"
"Kenal" jawab mereka agak pelahan dan nada tak jelas. Rasanya kurang 'kofiden' kot!
Said Hawa menantu Iman Hassan Al Banna pernah dipenjara di Syria sekitar tahun 70an. Dulu orang sebut juga Said Hawa antara yang cuba menguasai Parti (Jamaah) Ikhwanul Muslimin. Ini pun kira penguasaan anak menantu.

Ikhwan pada masa itu juga dikuasai oleh golongan profesional.

"Untuk hari ini saya bagi satu nama yang tak asing kepada awak Hassan, Mustafar Masyhur seorang ahli fizik." Hassan dan Wahab terdiam.

Dia bergiat dengan Ikhwan semenjak Ikhwan tertubuh lagi iaitu pada tahun 1936. (terkejut 'beruk' Hassan bila saya sebut tahunnya sekali)

Mustafar Masyhur dipenjara terlalu lama dan dibebas sekitar awal 70an oleh Anwar Sadat. Beliau melarikan diri ke Kuwait apabila cubaan memejarakannya semula.

Musfatar Masyhur akhir menjadi Mursyidur Am Ikhwan, saya tak pasti tahun bila tapi sekitar 90an.

"Apa kaitannya" sampuk Wahab.

Kaitannya musuh dalam selimut dalam gerakan Islam yang memang Allah telah janjikan melalui hati-hati ahli jamaah yang lemah juga membangkitkan perkara yang sama bahawa Said Hawa ingin menyingkir golongan profesional.

Sejarah gerakan Islam tak lari daripada perkara ini, jika kita mengkaji dan menelaah. Ulama difitnah dengan tamak dan lahoba.
Sebab itu Ikhwan Muslimin berpecah dengan beberapa kefahaman, akhirnya Said Hawa menubuh Ikhwan tempatan di Syria. Di Jordan pula ada Ikhwan Jihadi kerana suasana peperangan di sana.

Penguasaan politik menyebabkan fitnah tersebar dan ahli-ahli yang "bodoh" dan termakan fitnah akhirnya menyebabkan jamaah menjadi celaru.

Perkara yang sama juga berlaku di zaman sahabat sehingga Jamaah Islam pada masa itu berpecah antara Ali dan Muawiyyah.

Suasana politik di Syria juga menyebabkan hubungan Ikhwan dengan Syiah menjadi sangat teruk dan akhirnya Said Hawa mengarang buku mengkafirkan ayatollah Khomeini.

"Hassan soal kafirkan Syiah yang tersebar di internet sekarang ini bukan cerita baru" kata saya.

Sebab itu kita kena banyak membaca dan menelaah. Jangan kita tertipu sedang banyak perkara kita masih tak tahu. Sejarah untuk diteladani dan difahami agar kita menjalani kehidupan kemudian dengan lebih baik.

Saya terus bangun dan meninggalkan Hassan dan Wahab.

"Saya kena beli makanan untuk berbuka... nanti sambung lagi" saya terus turun daripada surau. Saya sudah pasti dua orang ini tak akan puas hati dengan saya. Spesis macam mereka ini ada banyak dalam jamaah bukan boleh dengar nasihat dan tunjuk ajar kerana mereka selalu merasa mereka betul sehingga mereka boleh melabel orang lain tamak, tak ikhlas dan bodoh!


Kena baca
Parti Anak Menantu

Parti Anak Menantu

Seperti biasa, bila sudah bertarawih kami akan dijamu dengan 'moreh'. Hari ini bubur pulut hitam. Dulu masa di asrama (saya pernah tinggal asrama) kali pertama saya melihat dan merasa bubur pulut hitam. Pada masa itu saya tak suka kerana tak biasa. Hanya kenal bubur kacang sahaja.

Pak Ali tokey warung bawa kerana gilirannya mengikut carta yang hampir tercabut dipelekat dengan stapler yang bengkok mungkin kayu cengal sukar ditembusi.

Hassan golongan awal 40an dengan kerjaya yang baik dan berkereta Mercedes nampak begitu rancak berborak. Boleh kata setiap malam dia akan buka cerita baru.

Beberapa golongan tua (lebih 70an) dengan rokok daun dan tembakau yang dibeli di Rusila pada kuliah Jumaat hanya terdiam dan tersengih sekali-sekala. Tak banyak menyampuk melainkan Wan Sembak yang suka bercakap kuat dan menengking sekali sekala.

"Tok Guru kita dengan menantunya Zaharudin Muhammad nak jatuhkan golongan profesional dalam PAS" Hassan membuka perbincangan.

"Yee ke" tanya Razak anak Pak Su Komeng.

"Takkan tak percaya, Zaharuddin tu dilantik menjadi Majlis Syura Ulama PAS pada tahun 2011 dan dia menjadi Ketua Jabatan Agama di syarikat milik kerajaan negeri Selangor, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad pada 2012" kata Hassan dengan bersungguh-sungguh.

"Baca di internet ke Hassan?" Saya menyampuk. Kebetulan saya dah di tangga untuk pulang.

"Amin Iskandar ada tulis dalam Malaysian Insider" kata Hassan.

Saya tak nak ulas siapa Amin Iskandar, kalau orang kenal Hishamuddin Rais mungkin juga boleh kenal Amin Iskandar. Maksud saya 'fikrah' dia!

Saya tanya Hassan "Isu Kota Damansara, sebenarnya sudah bermula tahun 2008 walaupun keputusan memihak Dr Nasir bertanding. Ini boleh tanya kepada mereka yang aktif di situ. Adakah kemasukkan Zaharudin (ramai blogger mengelarkan Din Ayam untuk penghinaan) pada 2011 menjadi punca permasalahan di situ?"
"Din Ayam yang menyebabkan perkara ini berlaku" Hassan bertegas.

"Din ayam rancang untuk menjatuhkan semua golongan profesinal yang kebetulan kebanyakannya kalah dalam PRU13 baru-baru ini" tambah Hassan lagi.

Saya sebenar tak nampak sinifikan kekalahan golongan profesional maka semuanya akan dijatuhkan dalam Muktamar PAS. Setahu saya golongan ulama lebih banyak kalah sebelum PAS menonjol seperti sekarang. Siapa punya idea hingga perkara ini melutus di internet.

"Lihat Hussam Musa disingkirkan daripada exco pun angkara Din Ayam" kata Hassan

"Hassan, jangan kita terlebih cakap dengan maklumat yang tak benar. Tuan Guru Nik Aziz ada jawapannya. Takkan Tuan Guru Nik Aziz bodoh nak biarkan perkara ini kalau tak persetujuannya. 'Orang tua tu' (Tuan Guru Nik Aziz) bukan sebarang orang" kata saya.

"Pergi tanya dia sendiri, jangan buat mulut. Tapi jangan tanya di hadapan kelayak ramai" kata saya.

Dulu ada wartawan tanya pasal perkara ini, tapi Tuan Guru tak layan dan minta soalan lain. Adakah Din Ayam dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi mampu menutup mulut Tuan Guru Nik Aziz. Kalau kita berhujah biarlah ada logik. Jangan kita tambah maklumat dengan maklumat palsu atas dasar kita tak suka seseorang.

Adakah Tuan Guru Haji Abdul Hadi dan menantunya nak menguasai PAS? Biar betul!

Kalau Tuan Guru Haji Hadi dan menantunya rancang nak menguasai PAS sudah pasti dia membenarkan Ustaz Khalil anaknya bertanding. Tapi kenapa dia melarang? Banyak sangat dongengan cerita-cerita memburuk kepimpinan dengan maklumat yang tidak benar.

“Tambahan lagi sekutu Zaharudin seperti Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hasan dan timbalannya Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz kedua-duanya menang di kerusi Parlimen Temerloh dan Pasir Mas. Nasrudin dikatakan terhutang budi dengan Zaharudin oleh kerana usahanya melobi Abdul Hadi agar membuat pengumuman “mengejut” pencalonannya di kerusi Temerloh yang sebelum itu milik calon PKR Ahmad Nizam Hamid," kata Hassan

Dalam hati kalau saya layan si Hassan ni panjang... sahur baru balik. Nasib baik tak ada si Rahman. Kalau tak lagi kecoh, Rahman lebih emosi lagi. Patner si Hassan kumpulan "Reform PAS". Tapi Wahab gelar "geng blogger gila". Wahab ni anak Pak imam Ayah Teh. Dia pun tak ada malam ini.

Termeloh, Kuantan dan beberapa tempat sebenarnya adalah kawasan PAS yang dipinjamkan kepada PKR. Tapi bila PKR bertanding PAS nak ambil semula sukar. Jadi dalam banyak mesyuarat-mesyuarat Majlis Pakatan perkara ini dibincangkan. Tak banyak penyelesaian. Rasanya ada perkara yang tak perlu didedahkan kepada umum.

Jadi PAS bertegas nak ambil Temerloh. Ini pun bukan kerana Din Ayam, lama dah. Kalau tak percaya tanya Wan Fauzuddin NS. Dia orang kuat Parti Keadilan di Pahang dan dia jujur dalam banyak hal dia boleh cerita perkara sebenar. Gaduh di Termeloh tu semenjak 2004 lagi.

Kenapa orang suka sebar fitnah dan memburukkan satu sama lain?

Saya rasa malas nak layan si Hassan, saya pun turun tangga dan menyarung selipar. "Sambung esoklah Hassan, malas nak berhujah kalau fakta sekadar baca internet" kata saya.

" Larilah tu" Kata Hassan mengejek saya.

"Assalamualaikum" saya terus ke kereta.