Tuesday, 17 September 2013

Apa beza Ching Peng dengan Henry Gurney?

Hari ini cuti Hari Malaysia, saya sarapan di warung Pak Ali macam biasa, kenakan nasi lemak dengan 'aya hitam'. Ramai pula kawan-kawan hari ini, mungkin cuti kot!

Kebetulan ada Ustaz Asmadi (Madi). Dia ni boleh berubat dan mengamalkan perubatan cara Islam. Ada cerita menarik tentang dia, nanti saya ada masa saya akan tulis.

Bidin pun ada sama. Saya niat nak tanya ustaz Madi, pasal perubatan tapi Bidin mula buka cerita pasal Ching Peng, saya ikut sahaja perbincangan mereka.

"Ching Peng dah mampus, abunya buang sahaja di Sungai Golok" kata Bidin (Ahli JKKK)

"Marah betul" kata saya

"Kenapa tidak kalau jadi pengkhianat Negara. Dia bukan rakyat Malaysia." kata Bidin lagi.

Saya hairan kenapa Chin Peng dan Rashid Maidin sebelum ini tidak dibenarkan pulang. Saya tidak kata mereka ini hebat sebagai pejuang kemerdekaan tetapi sejarah perlu dikaji semula. Haru ada penulis sejarah yang benar-benar bersumber fakta yang betul.


Saya juga hairan kenapa Henry Gurney dipuja dalam sejarah. Sedangkan itu adalah penjajah yang sah. Malah nama Henry Gurney diabadikan di negara kita.

Soal kerakyatan pula kita juga hairan dan tidak begitu faham pendatang tanpa izin yang mencari makan di negara ini memperolehi warganegara begitu mudah malah ada kad pengenalan membolehkan mereka memperolehi pruntukan BR1M.

Ching Peng dan Rashid Maidin yang sah mempunyai hubungan dalam sejarah kemerdekaan negara tidak dibenarkan pulang ke tempat asalnya. Mereka jadi buang sehingga akhir hayat.

Sangat tidak faham pemikiran orang-orang UMNO seperti Bidin.....

Saturday, 14 September 2013

Apabila Khalid Samad & Nik Abdul menjawab tuduhan

Solat Isya' selepas bulan puasa kurang seronok. Saf pun tak lebih daripada dua. Kalau ada kuliah ada lebih sikit, itu pun bergantung kepada ustaz yang mengajar, kalau yang jenis ustaz tua "main" kitab kuning jawabnya bukan bertambah, makin kurang adalah.

Selepas Isya' Hassan macam biasa buka "kelas tambahan" (cerita politik semasa) di bucu surau. Saya hadir, dia tersenyum. Hassan memang suka saya ada, sebab yang lain kebanyakkannya mengangguk melainkan saya yang selalu kontra dengan pendapat dia.

"Kesian Khalid Samad, terpaksa menjawab tuduhan liar daripada kumpulan yang bergelar ulama" Saya rasanya dia macam menukar tajuk untuk memerangkap saya bercakap. Saya diam sahaja.

"Ulama tapi sebenar nak rebut jawatan" Hassan menambah.

"Tak baik membuat fitnah" kata Hassan lagi.

"Fitnah mainan syaitan, dan makin tersebar kalau kita buka cerita ditanpa pengetahuan, macam kita bercakap di sini... semua tahu ke apa cerita sebenar tentang Khalid?" Saya bertanya

"Kalau tak tahu lebih baik balik rumah jaga bini, ada manafaatnya" saya menambah.


"Hari ini Ustaz Nik Abdul, anak TG Nik Abdul Aziz menjawab isu naik kapal terbang peribadi, esoik lusa siapa lagi antara pimpinan PAS yang akan menjawab tuduhan" kata saya

"Siapa yang buat tuduhan ini, UMNO ke?" saya tanya. Semuanya tak menjawab. Bukan UMNO tapi ahli PAS sendiri.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda; “Orang beriman sentiasa di ambang lima dugaan yang susah; mukmin yang dengki padanya, munafik yang benci padanya, kafir yang memeranginya, syaitan yang menyesatkannya dan nafsu yang sering bertarung untuk mengalahkannya”.Kenapa Rasulullah s.a.w. menyebut mukmin yang dengki. Perkataan mukmin itu sudah jelas tak payah saya huraikan.

Jamaah menjadi porak peranda kerana ahli-ahlinya tidak memahami adab berjamaah, adab berbeza pendapat.

Saya cerita tentang kisah Abu Bakar dengan Rasulullah s.a.w.

Suatu hari, Rasulullah duduk bersama Abu Bakar. Tiba-tiba, datang seorang laki-laki. Dia memaki Abu Bakar dengan kata-kata yang sangat buruk. Namun, Abu Bakar tidak membalasnya. Begitu juga dengan Rasulullah, yang hanya berdiam tanpa membela Abu Bakar. Mereka tetap diam.

Oleh kerana makiannya tidak dibalas, laki-laki itu pun terdiam. Namun, Abu Bakar kemudian membalas makiann tersebut. Melihat perkara ini, Rasulullah s.a.w. terus bangkit dari duduknya dan pergi meninggalkan Abu Bakar.

Abu Bakar terkejut melihat tindakan Rasulullah s.a.w.. Dia segera berlari mengejarnya. Abu Bakar pun bertanya,

“Ya, Rasulullah, laki-laki itu telah memakiku, tetapi aku diam saja. Begitu juga engkau. Namun, ketika aku menjawab makian itu, engkau malah meninggalkanku. Mengapa, ya Rasulullah?”

Rasulullah pun menjawab,”Wahai Abu Bakar, sesungguhnya malaikat datang mendampingimu dan menjawab makian laki-laki itu tadi ketika kamu diam. Karena itulah, aku senang berada di sana. Namun, ketika kamu membalas makian itu, malaikat pun pergi. Setan datang dan ikut duduk denganmu. Aku tidak suka duduk ersama setan. Itulah sebabnya aku meninggalkanmu.
Kemudian, Rasulullah melanjutkan penjelasannya, “Jika seorang manusia memaafkan orang yang menzaliminya karena dianggap mengharap ridha Alah, pasti Allah akan menambah kemuliannya.”

Rasulullah s.a.w mengajar kita tidak menjawab kerana dalam menjawab akan datang syaitan menduduki hati-hati kita.

"Lihat komen pada setiap tulisan samada Khalid Samad atau Nik Abdul" kata saya.

"Komen-komen daripada bisikan syaitan" Jawab Rahman... Belum sempat saya nak cakap.

Komen-komen daripada pimpinan PAS yang terkena fitnah, tak kira daripada kumpulan mana bukan menyelesaikan masalah tetapi akan menambahkan api permusuhan. Internet bukan medium untuk kita mencari kebenaran dalam jamaah, sebab jamaah sudah ada cara dan corak penyelesaiannya. Tapi malangnya kita berkeras tidak mengunakan saluran jamaah dan kita lebih suka melebarkan masalah.

Kita pernah dengar Tun Mahathir bercakap "Rasuah dalam UMNO membusuk sehingga ke usus". Apakah PAS akan menjadikan fitnah juga membusuk sehingga ke usus. Kita mengadakan cerita keburukan bagi menjatuhkan satu sama lain, kita hilang sifat persaudaraan, kita hilang rasa malu kepada Allah atas perilaku kita.

Kita memburuk satu sama lain dalam masa masa kita memakai jubah perjuangan Islam?? Sangat malu dan aib mulut kita bercakap tentang Islam tetapi hati kita penuh dengan dendam dan hasad!

Saya lebih berpendapat hentikan polimik bodoh sebelum Muktamar. Sebelum ini dengan isu Syiah-Sunni dan sekarang isu UG dan Ulama' akhirnya perjuangan Islam dicemari oleh sikap bodoh kita.

Saya minta izin lalu meninggalkan 'usrah kopi o' di bucu surau yang menajamkan (kata sinis) kefahaman politik dalam Jamaah!

Artikel berhubung:

Friday, 6 September 2013

Zahrain dapat habuan

Pagi macam biasa sarapan di warung Pak Ali, lama benar tak ke warung. Sebelum ini sebulan bulan puasa Pak Ali tak buka warung. (link) Selepas itu sibuk dengan puasa sunat syawal dan jamuan raya.

Semasa minta pesan terlihat Utusan Malaysia. Nak beli minta maaf, rasanya lebih baik duit itu dimasukkan dalam mana-mana tabung derma, tapi kalau ada yang free macam ini boleh juga lihat. Nak tahu juga kelentongnya macam mana.

Terbaca bekas Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim disahkan bakal dilantik sebagai Duta Malaysia ke Indonesia yang baharu.

Pelik juga bunyinya, biasanya yang dilantik diumumkan tapi yang ini "bakal dilantik" pun dijadikan tajuk utama.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, pelantikan Zahrain itu akan dibuat secara rasmi tidak lama lagi selepas dimaklumkan kepada kerajaan negara tersebut.

"Kita tidak melihat kepada latar belakang politik beliau kerana apa yang dicari ialah individu terbaik dan sesuai bagi memegang jawatan itu," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Luar semalam.

Menurut Anifah lagi, pelantikan Zahrain dibuat berdasarkan kriteria yang ditetapkan, kemampuan dan kesetiaannya kepada kerajaan.

Apa nak jadi dengan negara kita, sebelum ini YB Datuk Haji Abdul Azeez bin Abdul Rahim dilantik sebagai pengerusi Tabung Haji. Kita terbaca bagaimana cadangan memakai baju Melayu dan samping di Mekah. Kononnya semasa waktu melawat kita boleh guna baju berkenaan. Kan lucu. Di Malaysia pun semasa melawat Zoo, Muzium atau sebagainya, tak pernah saya terjumpa orang pakai baju Melayu bersamping, takkan di Mekah nak berbuat demikian. Satu cadangan sangat dangkal!

Ini akibat daripada orang bukan ahli memengang sesuatu jawatan atas dasar politik.


Saya tak boleh fikir bagaimana Zahrain terpilih? Adakah kerana bekas ahli PKR ini yang begitu kuat kecam Anwar Ibrahim?

Zahrain ada rekod "kepercayaan" yang tidak baik. Sifat dendam dan serangan yang tidak beretika kepada Anwar bekas ketuanya suatu yang tidak boleh dipandang ringan. Adakah ini tidak mempengaruhi Indonasia dalam hubungannya dengan Malaysia melalui manusia yang boleh dipertikaikan intergeritinya?

Atas dasar pengaruh Anwar yang cukup kuat terutamanya di Indonasia, hubungannya dengan pimpinan dan bekas pimpinan Indonasia yang sangat akrab, mungkin menjadikan Zahrain pilihan yang baik mengikut Najib kerana Zahrain boleh memburukkan Anwar di Indonasia?

Saya melihat kerajaan makin kalut di bawah kepimpinan Najib... Baik saya habiskan nasi lemak.

Artikel berkaitan:


Thursday, 5 September 2013

Minyak Naik 20 sen + BR1M juga akan naik

Petang semalam nak isi minyak terserempak dengan Bidin. Kali terakhir jumpa masa makan selepas terawih di kedai makan bersama Mazlan pengerusi JKKK (link). Kami berborak sikit pasal politik semasa.

"Orang kuat UMNO kalau guna kad ahli boleh dapat harga RM1.90" kata saya. Bangla Caltex tersengih... macam dia faham. Entah-entah dia pernah pakai baju UMNO untuk berdemo. Kalau tak pun pernah mengundi. (Itu tekaan hati saya)

"Naik cuma 20 sen sahaja" Itu pun nak kecoh kata Bidin.

"Ya, kalau isi RM40 kita kena bayar RM40.20 sahaja pasal naik 20 sen sahaja kan?" kata saya perli Bidin.

Sekali lagi Bangla itu tersenyum. Saya pun naik hairan.

"Kerajaan tak naikkan minyak, tapi kerajaan kurangkan subsidi sahaja"
Kata Bidin dan inilah yang selalu saya dengar daripada 'karat' biru berhujah.

Bidin juga menerangkan bahawa subsidi yang dikurangkan ini akan digunakan untuk menambahkan BR1M yang sudah pasti akan menguntungkan rakyat. Jumlah 20 sen yang dikurangkan atas bantuan subsidi dan kerajaan masih lagi memberi subsidi lebih daripada 68 sen.

Jumlah 20 sen itu telah menjimatkan wang kerajaan sebanyak RM3.3 billion. Dan daripada ini sudah diketahui bahawa RM3 billion telah digunakan untuk memberikan kemudahan kepada rakyat dalam bentuk BR1M sebelum ini yang berjumlah RM500 seorang.

Kata Bidin lagi, dengan penjimatan RM3.3 billion kerajaan boleh menambah untuk Bajet 2014 BR1M daripada RM500 kepada RM1000 seorang. Itu kan bagus.

Saya melihat kepada Bangla tadi, kali ini dia tak semyum dia sudah menyimpan pam pada tempatnya menandakan minyak telah selesai diisi. Dalam hati Bangla ini jika ada IC sudah pasti senang-senang dapat RM1000 tahun hadapan.

Saya hairan bagaimana kerajaan boleh beranggapan dengan pemberian BR1M kepada rakyat telah menyelesaikan sebahagian daripada kesusahan rakyat golongan rendah yang berpendapatan RM3000 ke bawah. Siapa punya kajian yang boleh membuatkan kerajaan terlalu yakin sehingga hendak menambah BR1M??

Saya juga berkeyakinan rakyat lebih selesai jika duit BR1M sebelum ini yang berjumlah RM3 billion itu diambil ditukarkan untuk diberikan subsidi petrol supaya harga petrol kurang lagi 20 sen daripada RM1.90 kepada RM1.70.

Dengan pengurangan harga petrol sudah pasti harga pengangkutan, barangan dan sebagainya akan menurun dan ini akan memberikan kemudahan kepada rakyat golongan miskin dan juga golongan pertengahan. Ini adalah lebih bermanafaat daripada pencing undi untuk BR1M sedangkan duit RM500 itu boleh habis dengan sekelip mata sahaja.

Prihatin kerajaan diperlukan bukan sekadar lepas mulut menjawab sebagaimana Bung Mukhtar yang mengatakan rakyat miskin tak guna kereta.

Saya tak tahu kalau tak guna kereta sudah pasti guna motorsikal. Adakah motosikal tak guna petrol? Nampak sangat wakil rakyat BN bercakap tak gunakan akal.

"Kalau nak murah kerajaan boleh kaji Ron92 diguna semula" kata Bidin.

Ini satu lagi, sebelum ini banyak pertingkaian terhadap Ron95 yang dikatakan tidak bermutu malah ada yang mengatakan bahawa kebakaran kereta dalam kes-kes kemalangan terakhir ini juga berpunca daripada penggunaan Ron95. Kenapa perlu minyak yang kurang bermutu seperti Ron92?

Saya melihat kerajaan kalut dalam melaksanakan dasar kenaikan harga petrol. Cuba lihat di papan notis subsidi tentang harga Ron95 sebelum subsidi ialah RM2.73 sedangkan harga Ron97 ialah RM2.70. Kenapa Ron95 lebih mahal daripada Ron97 yang mengikut harga pasaran petro dunia?


Bagaiman kerajaan menipu kononnya kerajaan membayar subsidi lebih?
Sekarang untuk menutup malu dan penipuan ini  kerajaan menaikan Ron97 kepada RM2.85 sedangkan minyak dunia masih belum naik sepenuhnya. Mana kenyataan sebelum ini mengikut harga minyak semasa?

"Siapa yang di perbodohkan?" tanya saya kepada Bidin

Bidin hanya terdiam.

Kerajaan juga tiada kajian secara menyeluruh dalam hal ini. Semalam TV ada menyiarakan tentang Kementerian Pertanian menyatakan akan menubuhkan jawatankuasa mengkaji kesan kepada nelayan atas kenaikan petrol 20 sen.

Habis sebelum ini kerajaan buat keputusan berdasarkan maklumat di mana? Kenapa sekarang nak kaji kesan?

Saya belum bercakap lagi tentang kesan kenaikan 20 sen dengan isu RM40 seminggu, berapa harus dibelanjakan setiap bulan dan jumlahnya untuk setahun. Adakah memadai dengan BR1M RM500 itu??

Bidin mula mengalah, saya tak tekan banyak perkara sebab ada orang lain nak isi minyak akhirnya kami berpisah tanpa kata pemutusan atas perbincangan ringkas tadi.

Artikel berkaitan: