Thursday 5 September 2013

Minyak Naik 20 sen + BR1M juga akan naik

Petang semalam nak isi minyak terserempak dengan Bidin. Kali terakhir jumpa masa makan selepas terawih di kedai makan bersama Mazlan pengerusi JKKK (link). Kami berborak sikit pasal politik semasa.

"Orang kuat UMNO kalau guna kad ahli boleh dapat harga RM1.90" kata saya. Bangla Caltex tersengih... macam dia faham. Entah-entah dia pernah pakai baju UMNO untuk berdemo. Kalau tak pun pernah mengundi. (Itu tekaan hati saya)

"Naik cuma 20 sen sahaja" Itu pun nak kecoh kata Bidin.

"Ya, kalau isi RM40 kita kena bayar RM40.20 sahaja pasal naik 20 sen sahaja kan?" kata saya perli Bidin.

Sekali lagi Bangla itu tersenyum. Saya pun naik hairan.

"Kerajaan tak naikkan minyak, tapi kerajaan kurangkan subsidi sahaja"
Kata Bidin dan inilah yang selalu saya dengar daripada 'karat' biru berhujah.

Bidin juga menerangkan bahawa subsidi yang dikurangkan ini akan digunakan untuk menambahkan BR1M yang sudah pasti akan menguntungkan rakyat. Jumlah 20 sen yang dikurangkan atas bantuan subsidi dan kerajaan masih lagi memberi subsidi lebih daripada 68 sen.

Jumlah 20 sen itu telah menjimatkan wang kerajaan sebanyak RM3.3 billion. Dan daripada ini sudah diketahui bahawa RM3 billion telah digunakan untuk memberikan kemudahan kepada rakyat dalam bentuk BR1M sebelum ini yang berjumlah RM500 seorang.

Kata Bidin lagi, dengan penjimatan RM3.3 billion kerajaan boleh menambah untuk Bajet 2014 BR1M daripada RM500 kepada RM1000 seorang. Itu kan bagus.

Saya melihat kepada Bangla tadi, kali ini dia tak semyum dia sudah menyimpan pam pada tempatnya menandakan minyak telah selesai diisi. Dalam hati Bangla ini jika ada IC sudah pasti senang-senang dapat RM1000 tahun hadapan.

Saya hairan bagaimana kerajaan boleh beranggapan dengan pemberian BR1M kepada rakyat telah menyelesaikan sebahagian daripada kesusahan rakyat golongan rendah yang berpendapatan RM3000 ke bawah. Siapa punya kajian yang boleh membuatkan kerajaan terlalu yakin sehingga hendak menambah BR1M??

Saya juga berkeyakinan rakyat lebih selesai jika duit BR1M sebelum ini yang berjumlah RM3 billion itu diambil ditukarkan untuk diberikan subsidi petrol supaya harga petrol kurang lagi 20 sen daripada RM1.90 kepada RM1.70.

Dengan pengurangan harga petrol sudah pasti harga pengangkutan, barangan dan sebagainya akan menurun dan ini akan memberikan kemudahan kepada rakyat golongan miskin dan juga golongan pertengahan. Ini adalah lebih bermanafaat daripada pencing undi untuk BR1M sedangkan duit RM500 itu boleh habis dengan sekelip mata sahaja.

Prihatin kerajaan diperlukan bukan sekadar lepas mulut menjawab sebagaimana Bung Mukhtar yang mengatakan rakyat miskin tak guna kereta.

Saya tak tahu kalau tak guna kereta sudah pasti guna motorsikal. Adakah motosikal tak guna petrol? Nampak sangat wakil rakyat BN bercakap tak gunakan akal.

"Kalau nak murah kerajaan boleh kaji Ron92 diguna semula" kata Bidin.

Ini satu lagi, sebelum ini banyak pertingkaian terhadap Ron95 yang dikatakan tidak bermutu malah ada yang mengatakan bahawa kebakaran kereta dalam kes-kes kemalangan terakhir ini juga berpunca daripada penggunaan Ron95. Kenapa perlu minyak yang kurang bermutu seperti Ron92?

Saya melihat kerajaan kalut dalam melaksanakan dasar kenaikan harga petrol. Cuba lihat di papan notis subsidi tentang harga Ron95 sebelum subsidi ialah RM2.73 sedangkan harga Ron97 ialah RM2.70. Kenapa Ron95 lebih mahal daripada Ron97 yang mengikut harga pasaran petro dunia?


Bagaiman kerajaan menipu kononnya kerajaan membayar subsidi lebih?
Sekarang untuk menutup malu dan penipuan ini  kerajaan menaikan Ron97 kepada RM2.85 sedangkan minyak dunia masih belum naik sepenuhnya. Mana kenyataan sebelum ini mengikut harga minyak semasa?

"Siapa yang di perbodohkan?" tanya saya kepada Bidin

Bidin hanya terdiam.

Kerajaan juga tiada kajian secara menyeluruh dalam hal ini. Semalam TV ada menyiarakan tentang Kementerian Pertanian menyatakan akan menubuhkan jawatankuasa mengkaji kesan kepada nelayan atas kenaikan petrol 20 sen.

Habis sebelum ini kerajaan buat keputusan berdasarkan maklumat di mana? Kenapa sekarang nak kaji kesan?

Saya belum bercakap lagi tentang kesan kenaikan 20 sen dengan isu RM40 seminggu, berapa harus dibelanjakan setiap bulan dan jumlahnya untuk setahun. Adakah memadai dengan BR1M RM500 itu??

Bidin mula mengalah, saya tak tekan banyak perkara sebab ada orang lain nak isi minyak akhirnya kami berpisah tanpa kata pemutusan atas perbincangan ringkas tadi.

Artikel berkaitan:



No comments:

Post a Comment