Tuesday 30 July 2013

Orang UMNO pun bercakap pasal Syiah

Balik daripada tarawih saya ditumpangi oleh Azwan anak Pak Ali, tokey warung.

"Jam masih pukul 10.30 malam, apa kata kita perkena sedikit makanan?" tanya saya kepada Azwan. Dia sekadar menggaguk sahaja. Azwan seorang yang pendiam, tak banyak cakap macam ayahnya juga.

Pak Ali bila masuk sahaja bulan ramadan dia terus tutup warung, kerja hanya 11 bulan. Hidupnya tak susah mana malah saya lihat macam agak mewah juga.

Saya menuju luar kampung dan singgah satu kedai makan yang ramai dikunjungi budak muda kerana kedai ada ada layar yang dipasang dengan projektor LCD. Kalau musim bola tak payah datang dan ada kerusi nak duduk.

Keluar daripada kereta, terus disapa oleh Pengerusi JKKK, Mazlan dia terus mencuit memanggil saya duduk dengan mereka. Hanya Bidin orang kanan Mazlan sahaja ada sebelah. Nak tak nak saya mengalah dan duduk kerana dia orang pun belum ambil 'order' lagi. Mungkin baru sampai macam saya.

Saya order mee ratna lama tak perkena semenjak puasa ni.

Mazlan ni educated sikit, tak macam JKKK yang disebut-sebut oleh Ustaz Azhar dalam kuliah-kuliahnya.

"PAS keluar kenyataan rasmi macam nak bersih nama Mat Sabu aje!" Mazlan mula membuka cerita.

"Kenyataan apa?" saya buat tak tahu

"Tuan Ibrahim Tuan Man kata tak ada Syiah dalam PAS, takkan tak tahu?" Mazlan menambah.

"Baca dalam Harakah ke?" Tanya saya saja nak perkenakan si Mazlan ni.

"Tak boleh baca ke" Mazlan tanya balas.

"Tak adalah, akhbar tu buat ahli sahaja. Tak boleh jual di luar nanti ada orang busuk hati akan rampas takut nanti terpengaruh" saya mula menyindir. Si Bidin hanya tersengih.

"Mat Sabu kena nafi sendiri, tak payah nak minta orang lain bela. Tuan punya badan tak bersungguh-sungguh bela diri. Kalau dia bukan anuti Syiah dia kena nafi bukan sahaja dengan mulut tapi perbuatannya" Mazlan memberikan hujah.

"Semenjak bila yang kena tuduh kena buktikan?" aku bertanya

"Kena bukti dia tak bersalah" Bidin mencelah

"Setahu saya Mat Sabu sudah menafikannya, takkan nak suruh Mat Sabu buat sumpah laknat, junjung al Quran di masjid" saya menyindir lagi.

Saya agak pelik sekarang ni banyak tuduhan tersebar dalam internet seolah-olah mereka tak takut akan peringatan Allah dan menjadi lagi pelik yang kena tuduh pula terpaksa membukti dia tak bersalah sedangkan orang yang membuat tuduhan begitu senang melempar tuduhannya. Kita bercakap mengenai Islam tetapi kita membelakangi apa yang Islam ajar kita.

Sebelum ini ada kawan saya pernah menghubungi saya minta saya menulis pasal pengaruh Syiah dalam PAS. Saya tanya dia siapa? Dia kata Mat Sabu. Saya kata ada bukti ke, jangan mudah kita mengkafirkan orang ini tuduhan berat dalam Islam (sebab ada yang anggap semua Syiah itu kafir).

Dia kata "ada".
Saya tanya lagi lihat sendiri atau dengar sendiri daripada mulut Mat Sabu?

Dia kata tak lihat sendiri tapi dengar daripada "maklumat yang sahih".

Maklumat sahih, sumber dalaman, daripada kepimpinan sendiri ini adalah ayat-ayat yang selalu saya dengar bila orang berhujah dan menulis dalam internet. Kebanyakkan mereka ini pembohong yang menempah 'bala' di akhirat nanti. Saya tak nafi ada maklumat yang betul tapi ramai menulis sekadar "penyedap" sahaja.

Saya tanya lagi kawan saya ada melihat sendiri amalan syiah yang dilakukan? Dia kata tidak, tapi pernah lihat semasa Mat Sabu nak solat ada tisu ditangannya.

Saya tergelak! Bukan apa saya pernah lihat Ustaz Hussin Awang bawa tisu satu kotak semasa nak solat. Dia bukan Syiah yang nak taqiah sorok batu dalam tisu. Dia selsema teruk. Saya pun kalau selsema tertinggal tisu solat tak khusyu' bayangkan hingus akan menitis (jika selsema sudah tahap akhir air hingusan akan keluar sendiri dalam bentuk cecair seperti air dan menitis tanpa disedari)

Dulu awal 80an selepas Revolusi Iran, ramai pimpinan PAS sambung belajar dan ada yang memilih untuk belajar di Iran kerana percuma, termasuk Mat Sabu.

Jika nak belajar sendiri sangat sukar, bayangkan kalau nak sambung master di luar negara misalnya kalau tak ada biasiswa kita terpaksa menghabiskan duit RM40-50 ribu.

Bila belajar di Iran, satu sikap tak baiknya ialah bila masuk tahun kedua dia orang mula untuk mengubah pelajar-pelajar Malaysia menganut fahaman Syiah. Ini saya dengar sendiri daripada mulut Mat Sabu. Mat Sabu memang ada hubungan 'spesial' dengan Iran. Kalau orang sebut Mat Sabu mendapat bantuan dan sumber kewangan daripada Iran, yang tak menolak kemungkinan ini.

Bila belajar di sana memang kita tak lari daripada cara dan gaya orang-orang "Syiah". Misalnya Tuan Guru Nik Abdul Aziz belajar di India, cara dia berhujah pun bagi sesetengah yang mahir tahu di mana dia belajar. Sama juga dengan Tuan Guru Haji Abdul Hadi. Mereka juga mendapat sumbangan daripada negara-negara luar Misalnya India dan Arab Saudi. Orang PAS masa tu papa dan miskin tak seperti sekarang kalau nak belajar terpaksa bergolak gadai!

Jadi tak hairanlah kalau ada orang kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz atau Tuan Guru Haji Abdul Hadi wahabi.

Dulu bila pelajar balik daripada London mereka terpengaruh dengan "IRC" dan mereka yang balik daripada Mesir sebahagiannya terpengaruh dengan gerakan "Alami" sedangkan semuanya adalah Ikhwanul Muslimin. Aliran pemikiran sebenarnya  tidak lari dipengaruhi oleh tempat di mana kita belajar dan tinggal.

Contoh paling mudah ialah aliran pemikiran mazhab. Bagaimana  mazhab Shafie, Hanafi, Hambali dan Maliki semuanya dipengaruhi oleh tempat tinggal mereka dalam berhujah dan mengumukan fakta.

Ada juga yang berhujah kata Mat Sabu adalah Syiah dengan memberikan satu klip video ceramah yang mana Mat Sabu menyebut kehebatan Hassan Nasrallah dan dia kata sehingga isterinya nak peluk Hassan Nasrallah. (link)

Kalau kita kenal Mat Sabu, kita ikuti ceramah-ceramahnya saya rasa kita akan faham setiap perkataan keluar daripada mulut Mat Sabu.

Dulu saya pernah ikut geng penerangan PAS membuat rakaman ceramah. Ceramah Mat Sabu adalah yang paling top. Jadi kita follow Mat Sabu. Isu pada masa itu adalah isu Melayu masuk Kristian.

Pada satu ceramah Mat Sabu sebut 5 000 orang Melayu masuk Kristian. Kemudian esoknya Mat Sabu ceramah lagi di daerah sebelahnya Mat Sabu sebut 8 000 orang Melayu masuk Kristian, hadiri bertakbir Allahu Akhbar!! Saya berpendapat yang mendengar ceramah itu juga terdapat orang-orang yang dengar ceramah pada malam semalam kerana tempat itu terlalu dekat walaupun daerahnya berbeza, tak sampai 20 km.

Kita juga kena faham pengaruh internet, misalnya video Tun Mahathir yang mengatakan dia sengaja mengheret Anwar Ibrahim ke penjara, yang ditonton lebih daripada 1 juta orang (link). Berapa orang yang bermatian-matian kata video itu benar sedangkan itu cakap sinis Tun Mahathir yang dikerat dan dimuatkan dalam video klip. Perbuatan ini adalah membalas sikap TV pada masa itu suka mengerat dan mengedit cakap-cakap pimpinan PAS untuk mengabur penonton.

Sama juga isu Rosmah menabung semenjak kecil, berapa orang yang percaya sedangkan itu adalah editan daripada muka depan Utusan Malaysia. (link)

Saya kesian melihat bagaimana penulis tersahor, mengulas isu Rosmah menabung dari segi logik dan tak logik dengan kiraan simpanan kalau menabung daripada bayi sehingga umor Rosmah sekarang, sedangkan maklumat yang diambil itu sebenarnya adalah tidak benar sama sekali.

Bila kita bicara perkara ini ada orang PAS akan marah kepada saya, dia kata saya bela UMNO. Ini bukan soal bela atau tidak tapi kita bercakap soal fakta dan maklumat.

Kalau tak ada bukti, tak payahlah kita menuduh biarlah Mat Sabu dengan Allah, melainkan Mat Sabu sudah merosakkan jamaah sehingga PAS sudah tidak dipercayai lagi. Tapi kalau setakat nak jatuhkannya dalam pemilihan di Muktamar nanti, rasa tak payah kita buat kerja yang akhir merosakkan kita.

3 comments:

  1. Lama tak bergejuis? Tetiba kembali? Kenapa?

    Apa2 pun, Mat Sabu dan syiah tidak dpt dilepaskan didendang ke telinga manusia.

    Memang, salah satu punca beliau kalah di Pendang, adalah kerana isu syiah ini, yang dianggap PAS, sebagai tidak serius.

    Inilah masalahnya....

    ReplyDelete
  2. Saya tak jelas perkataan "bergejuis". Mungkin muncul.

    Saya tak anggap PAS tak serius dalam hal ini. Rasa ada sesuatu diluar pengetahuan kita. Kita maklum bahawa Presiden berperanan sebagai orang tengah dalam isu-isu dunia gerakan Islam.

    Itu sekadar pendapat, mungkin juga saya silap.

    ReplyDelete
  3. Syiah ni satu mazhab yang diterima di peringkat dunia, malah Al Azhar sendiri tidak pernah menolak sampai tergamak mengkafirkan Syiah. kalau benar Mat Sabu Syiah, kita perlu menghormati pegangannya. Masalahnya di malaysia ni, berita tentang Syiah tidak disampaikan dengan benar. Tidak diberitakan tentang penetapan Syiah sebagai sebuah mazhab yang sah dalam dunia Islam. Jadi kekurangan ini digunakan UMNO utk melabelkan musuh2nya sebagai Syiah agar penolakan terhadap mereka menjadi sah di sisi masyarakat. Jadi bagi saya, biarlah kalau Mat Sabu Syiah, yang pentingnya rakyat perlu tahu yang mana perlu diutamakan, perjuangan menegakkan kebenaran kah atau masalah pilihan mazhab utk pengamalan peribadi.

    ReplyDelete