Tuesday 30 July 2013

Orang UMNO pun bercakap pasal Syiah

Balik daripada tarawih saya ditumpangi oleh Azwan anak Pak Ali, tokey warung.

"Jam masih pukul 10.30 malam, apa kata kita perkena sedikit makanan?" tanya saya kepada Azwan. Dia sekadar menggaguk sahaja. Azwan seorang yang pendiam, tak banyak cakap macam ayahnya juga.

Pak Ali bila masuk sahaja bulan ramadan dia terus tutup warung, kerja hanya 11 bulan. Hidupnya tak susah mana malah saya lihat macam agak mewah juga.

Saya menuju luar kampung dan singgah satu kedai makan yang ramai dikunjungi budak muda kerana kedai ada ada layar yang dipasang dengan projektor LCD. Kalau musim bola tak payah datang dan ada kerusi nak duduk.

Keluar daripada kereta, terus disapa oleh Pengerusi JKKK, Mazlan dia terus mencuit memanggil saya duduk dengan mereka. Hanya Bidin orang kanan Mazlan sahaja ada sebelah. Nak tak nak saya mengalah dan duduk kerana dia orang pun belum ambil 'order' lagi. Mungkin baru sampai macam saya.

Saya order mee ratna lama tak perkena semenjak puasa ni.

Mazlan ni educated sikit, tak macam JKKK yang disebut-sebut oleh Ustaz Azhar dalam kuliah-kuliahnya.

"PAS keluar kenyataan rasmi macam nak bersih nama Mat Sabu aje!" Mazlan mula membuka cerita.

"Kenyataan apa?" saya buat tak tahu

"Tuan Ibrahim Tuan Man kata tak ada Syiah dalam PAS, takkan tak tahu?" Mazlan menambah.

"Baca dalam Harakah ke?" Tanya saya saja nak perkenakan si Mazlan ni.

"Tak boleh baca ke" Mazlan tanya balas.

"Tak adalah, akhbar tu buat ahli sahaja. Tak boleh jual di luar nanti ada orang busuk hati akan rampas takut nanti terpengaruh" saya mula menyindir. Si Bidin hanya tersengih.

"Mat Sabu kena nafi sendiri, tak payah nak minta orang lain bela. Tuan punya badan tak bersungguh-sungguh bela diri. Kalau dia bukan anuti Syiah dia kena nafi bukan sahaja dengan mulut tapi perbuatannya" Mazlan memberikan hujah.

"Semenjak bila yang kena tuduh kena buktikan?" aku bertanya

"Kena bukti dia tak bersalah" Bidin mencelah

"Setahu saya Mat Sabu sudah menafikannya, takkan nak suruh Mat Sabu buat sumpah laknat, junjung al Quran di masjid" saya menyindir lagi.

Saya agak pelik sekarang ni banyak tuduhan tersebar dalam internet seolah-olah mereka tak takut akan peringatan Allah dan menjadi lagi pelik yang kena tuduh pula terpaksa membukti dia tak bersalah sedangkan orang yang membuat tuduhan begitu senang melempar tuduhannya. Kita bercakap mengenai Islam tetapi kita membelakangi apa yang Islam ajar kita.

Sebelum ini ada kawan saya pernah menghubungi saya minta saya menulis pasal pengaruh Syiah dalam PAS. Saya tanya dia siapa? Dia kata Mat Sabu. Saya kata ada bukti ke, jangan mudah kita mengkafirkan orang ini tuduhan berat dalam Islam (sebab ada yang anggap semua Syiah itu kafir).

Dia kata "ada".
Saya tanya lagi lihat sendiri atau dengar sendiri daripada mulut Mat Sabu?

Dia kata tak lihat sendiri tapi dengar daripada "maklumat yang sahih".

Maklumat sahih, sumber dalaman, daripada kepimpinan sendiri ini adalah ayat-ayat yang selalu saya dengar bila orang berhujah dan menulis dalam internet. Kebanyakkan mereka ini pembohong yang menempah 'bala' di akhirat nanti. Saya tak nafi ada maklumat yang betul tapi ramai menulis sekadar "penyedap" sahaja.

Saya tanya lagi kawan saya ada melihat sendiri amalan syiah yang dilakukan? Dia kata tidak, tapi pernah lihat semasa Mat Sabu nak solat ada tisu ditangannya.

Saya tergelak! Bukan apa saya pernah lihat Ustaz Hussin Awang bawa tisu satu kotak semasa nak solat. Dia bukan Syiah yang nak taqiah sorok batu dalam tisu. Dia selsema teruk. Saya pun kalau selsema tertinggal tisu solat tak khusyu' bayangkan hingus akan menitis (jika selsema sudah tahap akhir air hingusan akan keluar sendiri dalam bentuk cecair seperti air dan menitis tanpa disedari)

Dulu awal 80an selepas Revolusi Iran, ramai pimpinan PAS sambung belajar dan ada yang memilih untuk belajar di Iran kerana percuma, termasuk Mat Sabu.

Jika nak belajar sendiri sangat sukar, bayangkan kalau nak sambung master di luar negara misalnya kalau tak ada biasiswa kita terpaksa menghabiskan duit RM40-50 ribu.

Bila belajar di Iran, satu sikap tak baiknya ialah bila masuk tahun kedua dia orang mula untuk mengubah pelajar-pelajar Malaysia menganut fahaman Syiah. Ini saya dengar sendiri daripada mulut Mat Sabu. Mat Sabu memang ada hubungan 'spesial' dengan Iran. Kalau orang sebut Mat Sabu mendapat bantuan dan sumber kewangan daripada Iran, yang tak menolak kemungkinan ini.

Bila belajar di sana memang kita tak lari daripada cara dan gaya orang-orang "Syiah". Misalnya Tuan Guru Nik Abdul Aziz belajar di India, cara dia berhujah pun bagi sesetengah yang mahir tahu di mana dia belajar. Sama juga dengan Tuan Guru Haji Abdul Hadi. Mereka juga mendapat sumbangan daripada negara-negara luar Misalnya India dan Arab Saudi. Orang PAS masa tu papa dan miskin tak seperti sekarang kalau nak belajar terpaksa bergolak gadai!

Jadi tak hairanlah kalau ada orang kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz atau Tuan Guru Haji Abdul Hadi wahabi.

Dulu bila pelajar balik daripada London mereka terpengaruh dengan "IRC" dan mereka yang balik daripada Mesir sebahagiannya terpengaruh dengan gerakan "Alami" sedangkan semuanya adalah Ikhwanul Muslimin. Aliran pemikiran sebenarnya  tidak lari dipengaruhi oleh tempat di mana kita belajar dan tinggal.

Contoh paling mudah ialah aliran pemikiran mazhab. Bagaimana  mazhab Shafie, Hanafi, Hambali dan Maliki semuanya dipengaruhi oleh tempat tinggal mereka dalam berhujah dan mengumukan fakta.

Ada juga yang berhujah kata Mat Sabu adalah Syiah dengan memberikan satu klip video ceramah yang mana Mat Sabu menyebut kehebatan Hassan Nasrallah dan dia kata sehingga isterinya nak peluk Hassan Nasrallah. (link)

Kalau kita kenal Mat Sabu, kita ikuti ceramah-ceramahnya saya rasa kita akan faham setiap perkataan keluar daripada mulut Mat Sabu.

Dulu saya pernah ikut geng penerangan PAS membuat rakaman ceramah. Ceramah Mat Sabu adalah yang paling top. Jadi kita follow Mat Sabu. Isu pada masa itu adalah isu Melayu masuk Kristian.

Pada satu ceramah Mat Sabu sebut 5 000 orang Melayu masuk Kristian. Kemudian esoknya Mat Sabu ceramah lagi di daerah sebelahnya Mat Sabu sebut 8 000 orang Melayu masuk Kristian, hadiri bertakbir Allahu Akhbar!! Saya berpendapat yang mendengar ceramah itu juga terdapat orang-orang yang dengar ceramah pada malam semalam kerana tempat itu terlalu dekat walaupun daerahnya berbeza, tak sampai 20 km.

Kita juga kena faham pengaruh internet, misalnya video Tun Mahathir yang mengatakan dia sengaja mengheret Anwar Ibrahim ke penjara, yang ditonton lebih daripada 1 juta orang (link). Berapa orang yang bermatian-matian kata video itu benar sedangkan itu cakap sinis Tun Mahathir yang dikerat dan dimuatkan dalam video klip. Perbuatan ini adalah membalas sikap TV pada masa itu suka mengerat dan mengedit cakap-cakap pimpinan PAS untuk mengabur penonton.

Sama juga isu Rosmah menabung semenjak kecil, berapa orang yang percaya sedangkan itu adalah editan daripada muka depan Utusan Malaysia. (link)

Saya kesian melihat bagaimana penulis tersahor, mengulas isu Rosmah menabung dari segi logik dan tak logik dengan kiraan simpanan kalau menabung daripada bayi sehingga umor Rosmah sekarang, sedangkan maklumat yang diambil itu sebenarnya adalah tidak benar sama sekali.

Bila kita bicara perkara ini ada orang PAS akan marah kepada saya, dia kata saya bela UMNO. Ini bukan soal bela atau tidak tapi kita bercakap soal fakta dan maklumat.

Kalau tak ada bukti, tak payahlah kita menuduh biarlah Mat Sabu dengan Allah, melainkan Mat Sabu sudah merosakkan jamaah sehingga PAS sudah tidak dipercayai lagi. Tapi kalau setakat nak jatuhkannya dalam pemilihan di Muktamar nanti, rasa tak payah kita buat kerja yang akhir merosakkan kita.

Sunday 28 July 2013

Hassan Al Banna dan Said Hawa

Balik kerja saya terus ke surau untuk berjamaah asar. Sampai di surau dah nampak si Hassan.

"Macam tunggu aku" terdetik dalam hati saya. Hassan tak kerja ke hari ini? saya tertanya-tanya dalam hati. Belum sempat nak parking nampak pula si Wahab.

"Mampuslah hari ini..." (bahasa tempatan yang bermaksud nahaslah!)

Saya tak sapa pun mereka terus naik ke surau untuk tunai solat asar. Selepas sahaja solat dan kami jamaah surau nak beredar Hassan dan Wahab datang kepada saya.

Belum sempat mereka membuka mulut, saya terus cakap "Mari sini saya nak cakap" kata saya sambil menarik mereka ke baranda surau.

"Kenal Hassan Al Banna?"
"Eh takkan tak kenal" kedua-dua menyampuk.

"Kenal Said Hawa?"
"Kenal" jawab mereka agak pelahan dan nada tak jelas. Rasanya kurang 'kofiden' kot!
Said Hawa menantu Iman Hassan Al Banna pernah dipenjara di Syria sekitar tahun 70an. Dulu orang sebut juga Said Hawa antara yang cuba menguasai Parti (Jamaah) Ikhwanul Muslimin. Ini pun kira penguasaan anak menantu.

Ikhwan pada masa itu juga dikuasai oleh golongan profesional.

"Untuk hari ini saya bagi satu nama yang tak asing kepada awak Hassan, Mustafar Masyhur seorang ahli fizik." Hassan dan Wahab terdiam.

Dia bergiat dengan Ikhwan semenjak Ikhwan tertubuh lagi iaitu pada tahun 1936. (terkejut 'beruk' Hassan bila saya sebut tahunnya sekali)

Mustafar Masyhur dipenjara terlalu lama dan dibebas sekitar awal 70an oleh Anwar Sadat. Beliau melarikan diri ke Kuwait apabila cubaan memejarakannya semula.

Musfatar Masyhur akhir menjadi Mursyidur Am Ikhwan, saya tak pasti tahun bila tapi sekitar 90an.

"Apa kaitannya" sampuk Wahab.

Kaitannya musuh dalam selimut dalam gerakan Islam yang memang Allah telah janjikan melalui hati-hati ahli jamaah yang lemah juga membangkitkan perkara yang sama bahawa Said Hawa ingin menyingkir golongan profesional.

Sejarah gerakan Islam tak lari daripada perkara ini, jika kita mengkaji dan menelaah. Ulama difitnah dengan tamak dan lahoba.
Sebab itu Ikhwan Muslimin berpecah dengan beberapa kefahaman, akhirnya Said Hawa menubuh Ikhwan tempatan di Syria. Di Jordan pula ada Ikhwan Jihadi kerana suasana peperangan di sana.

Penguasaan politik menyebabkan fitnah tersebar dan ahli-ahli yang "bodoh" dan termakan fitnah akhirnya menyebabkan jamaah menjadi celaru.

Perkara yang sama juga berlaku di zaman sahabat sehingga Jamaah Islam pada masa itu berpecah antara Ali dan Muawiyyah.

Suasana politik di Syria juga menyebabkan hubungan Ikhwan dengan Syiah menjadi sangat teruk dan akhirnya Said Hawa mengarang buku mengkafirkan ayatollah Khomeini.

"Hassan soal kafirkan Syiah yang tersebar di internet sekarang ini bukan cerita baru" kata saya.

Sebab itu kita kena banyak membaca dan menelaah. Jangan kita tertipu sedang banyak perkara kita masih tak tahu. Sejarah untuk diteladani dan difahami agar kita menjalani kehidupan kemudian dengan lebih baik.

Saya terus bangun dan meninggalkan Hassan dan Wahab.

"Saya kena beli makanan untuk berbuka... nanti sambung lagi" saya terus turun daripada surau. Saya sudah pasti dua orang ini tak akan puas hati dengan saya. Spesis macam mereka ini ada banyak dalam jamaah bukan boleh dengar nasihat dan tunjuk ajar kerana mereka selalu merasa mereka betul sehingga mereka boleh melabel orang lain tamak, tak ikhlas dan bodoh!


Kena baca
Parti Anak Menantu

Parti Anak Menantu

Seperti biasa, bila sudah bertarawih kami akan dijamu dengan 'moreh'. Hari ini bubur pulut hitam. Dulu masa di asrama (saya pernah tinggal asrama) kali pertama saya melihat dan merasa bubur pulut hitam. Pada masa itu saya tak suka kerana tak biasa. Hanya kenal bubur kacang sahaja.

Pak Ali tokey warung bawa kerana gilirannya mengikut carta yang hampir tercabut dipelekat dengan stapler yang bengkok mungkin kayu cengal sukar ditembusi.

Hassan golongan awal 40an dengan kerjaya yang baik dan berkereta Mercedes nampak begitu rancak berborak. Boleh kata setiap malam dia akan buka cerita baru.

Beberapa golongan tua (lebih 70an) dengan rokok daun dan tembakau yang dibeli di Rusila pada kuliah Jumaat hanya terdiam dan tersengih sekali-sekala. Tak banyak menyampuk melainkan Wan Sembak yang suka bercakap kuat dan menengking sekali sekala.

"Tok Guru kita dengan menantunya Zaharudin Muhammad nak jatuhkan golongan profesional dalam PAS" Hassan membuka perbincangan.

"Yee ke" tanya Razak anak Pak Su Komeng.

"Takkan tak percaya, Zaharuddin tu dilantik menjadi Majlis Syura Ulama PAS pada tahun 2011 dan dia menjadi Ketua Jabatan Agama di syarikat milik kerajaan negeri Selangor, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad pada 2012" kata Hassan dengan bersungguh-sungguh.

"Baca di internet ke Hassan?" Saya menyampuk. Kebetulan saya dah di tangga untuk pulang.

"Amin Iskandar ada tulis dalam Malaysian Insider" kata Hassan.

Saya tak nak ulas siapa Amin Iskandar, kalau orang kenal Hishamuddin Rais mungkin juga boleh kenal Amin Iskandar. Maksud saya 'fikrah' dia!

Saya tanya Hassan "Isu Kota Damansara, sebenarnya sudah bermula tahun 2008 walaupun keputusan memihak Dr Nasir bertanding. Ini boleh tanya kepada mereka yang aktif di situ. Adakah kemasukkan Zaharudin (ramai blogger mengelarkan Din Ayam untuk penghinaan) pada 2011 menjadi punca permasalahan di situ?"
"Din Ayam yang menyebabkan perkara ini berlaku" Hassan bertegas.

"Din ayam rancang untuk menjatuhkan semua golongan profesinal yang kebetulan kebanyakannya kalah dalam PRU13 baru-baru ini" tambah Hassan lagi.

Saya sebenar tak nampak sinifikan kekalahan golongan profesional maka semuanya akan dijatuhkan dalam Muktamar PAS. Setahu saya golongan ulama lebih banyak kalah sebelum PAS menonjol seperti sekarang. Siapa punya idea hingga perkara ini melutus di internet.

"Lihat Hussam Musa disingkirkan daripada exco pun angkara Din Ayam" kata Hassan

"Hassan, jangan kita terlebih cakap dengan maklumat yang tak benar. Tuan Guru Nik Aziz ada jawapannya. Takkan Tuan Guru Nik Aziz bodoh nak biarkan perkara ini kalau tak persetujuannya. 'Orang tua tu' (Tuan Guru Nik Aziz) bukan sebarang orang" kata saya.

"Pergi tanya dia sendiri, jangan buat mulut. Tapi jangan tanya di hadapan kelayak ramai" kata saya.

Dulu ada wartawan tanya pasal perkara ini, tapi Tuan Guru tak layan dan minta soalan lain. Adakah Din Ayam dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi mampu menutup mulut Tuan Guru Nik Aziz. Kalau kita berhujah biarlah ada logik. Jangan kita tambah maklumat dengan maklumat palsu atas dasar kita tak suka seseorang.

Adakah Tuan Guru Haji Abdul Hadi dan menantunya nak menguasai PAS? Biar betul!

Kalau Tuan Guru Haji Hadi dan menantunya rancang nak menguasai PAS sudah pasti dia membenarkan Ustaz Khalil anaknya bertanding. Tapi kenapa dia melarang? Banyak sangat dongengan cerita-cerita memburuk kepimpinan dengan maklumat yang tidak benar.

“Tambahan lagi sekutu Zaharudin seperti Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hasan dan timbalannya Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz kedua-duanya menang di kerusi Parlimen Temerloh dan Pasir Mas. Nasrudin dikatakan terhutang budi dengan Zaharudin oleh kerana usahanya melobi Abdul Hadi agar membuat pengumuman “mengejut” pencalonannya di kerusi Temerloh yang sebelum itu milik calon PKR Ahmad Nizam Hamid," kata Hassan

Dalam hati kalau saya layan si Hassan ni panjang... sahur baru balik. Nasib baik tak ada si Rahman. Kalau tak lagi kecoh, Rahman lebih emosi lagi. Patner si Hassan kumpulan "Reform PAS". Tapi Wahab gelar "geng blogger gila". Wahab ni anak Pak imam Ayah Teh. Dia pun tak ada malam ini.

Termeloh, Kuantan dan beberapa tempat sebenarnya adalah kawasan PAS yang dipinjamkan kepada PKR. Tapi bila PKR bertanding PAS nak ambil semula sukar. Jadi dalam banyak mesyuarat-mesyuarat Majlis Pakatan perkara ini dibincangkan. Tak banyak penyelesaian. Rasanya ada perkara yang tak perlu didedahkan kepada umum.

Jadi PAS bertegas nak ambil Temerloh. Ini pun bukan kerana Din Ayam, lama dah. Kalau tak percaya tanya Wan Fauzuddin NS. Dia orang kuat Parti Keadilan di Pahang dan dia jujur dalam banyak hal dia boleh cerita perkara sebenar. Gaduh di Termeloh tu semenjak 2004 lagi.

Kenapa orang suka sebar fitnah dan memburukkan satu sama lain?

Saya rasa malas nak layan si Hassan, saya pun turun tangga dan menyarung selipar. "Sambung esoklah Hassan, malas nak berhujah kalau fakta sekadar baca internet" kata saya.

" Larilah tu" Kata Hassan mengejek saya.

"Assalamualaikum" saya terus ke kereta.